Pensyarah: Pelantikan Ku Li lebih efektif jejas undi BN-mkini |
"(Tengku Razaleigh) lebih efektif dalam menjejaskan undi BN, bukannya menarik lebih banyak undi," katanya pensyarah fakulti ekonomi dan sains polisi UCSI Ong Kian Ming.
Jelasnya, perkara itu dilihat apabila Tengku Razaleigh giat bercakap mengenai isu royalti minyak dan ini membuka peluang kepada serangan oleh PAS kerana BN tidak banyak membuat penjelasan mengenai isu berkenaan.
“Kalau (Razaleigh) bijak, dia boleh (pengaruhi) BN atau Umno supaya bersetuju untuk menyemak semula pendirian mereka tentang isu royalti minyak," katanya lagi.
Bagaimanapun, timbalan presiden BN Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat perkiraan yang baik dengan melantik Tengku Razaleigh ke jawatan tersebut, katanya.
Bagi penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Mohammad Agus Yusoff pula berkata, 'faktor Ku Li' tetap memainkan peranan dalam pilihan raya kali ini.
“Ia bergantung kepada (ruang) autonomi yang diberikan kepadanya untuk mengetuai (jentera pilihan raya). Kalau hanya 'pengarah kosong', dia masih boleh boikot kalau dia mahu," kata Agus.
Katanya, pilihan raya kali ini bukan saja penentu untuk sokongan Umno di Galas, tapi juga kepada Tengku Razaleigh sebagai wakil parlimen Gua Musang.
"Dia sangat berpengaruh (sebab) itu kan kawasan dia?" katanya dan menambah Tengku Razaleigh kini perlu menjelaskan pendiriannya dalam dasar-dasar kerajaan.
Menurutnya, Tengku Razaleigh mempunyai pandangan berbeza berhubung isu-isu dasar dan pilihan raya kali ini merupakan peluang untuk veteran Umno itu menjelaskan pendiriannya.
Tengku Razaleigh yang masih berada di luar negara setakat ini masih berdiam diri sama ada akan menerima jawatan tersebut walaupun timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan sebaliknya.
Beliau dijangka kembali negara ini pada 9 Oktober depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan