Orang ramai yang berurusan di Plaza Masalam, Shah Alam bertanyakan kenapa ada orang ramai berhimpun, kepada salah seorang yang menyertai perhimpunan mendesak siasatan dilakukan ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertanggungjawab menyiasat Teoh Beng Hock.
Orang yang ditanya itu menjawab: "Ada kes kematian semalam di sini. Mereka ini melahirkan tidak puas hati tentang kematian itu."
Jawab balik orang bertanya itu: "Ooo ... yang semalam kes bunuh diri tu ..."
"Macam mana awak tahu itu kes bunuh diri," soal orang sebelah kepada yang ditanya tadi.
Ini antara bualan ringkas di pintu masuk ke bangunan pejabat di Plaza Masalam pagi tadi semasa orang ramai yang dianggarkan lebih 500 orang berkumpul meminta SPRM bertanggungjawab diatas kematian Teoh yang ditemui dibawah pejabat SPRM, tingkat 14.
Tambah orang itu: "Kalau saudara dapat berita awal kes itu bunuh diri, saya pun dapat berita awal yang Teoh ini bunuh diri."
Orang ramai yang tidak mengenali Teoh iaitu Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Selangor, Ean Yoing Hian Wah dan mendapat maklumat awal memang mudah menyangka kebenaran berita tersebut.
Soalnya siapa yang bertanggungjawab menyebarkan berita bahawa Teoh membunuh diri, sedangkan pihak polis mengklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut dan siasatan sedang dijalankan.
Apabila ada pemimpin DAP yang menceritakan tentang keperibadian Teoh maka maklumat awal tersebut ternyata semacam sebuah cerekarama seolah hendak menutup kematian sebenar Teoh.
Ini kerana kematian mengejut beliau itu banyak menimbulkan persoalan dan andaian. Teoh pula tidak meninggalkan sebarang nota dalam masa rehat beliau di pejabat SPRM iaitu sebaik sahaja selesai siasatan pada pukul 3.30 pagi hingga 6 pagi, semalam bagi beliau mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Walaupun kesedaran kematian Teoh pada pukul 1.30 tengahari tetapi sebelum itu kali terakhir lokasi beliau berada di pejabat SPRM maka suruhanjaya tersebut perlu bertanggungjawab.
Pada 7 Julai lalu, saudara yang mahu dikenali Zul seorang pembantu tadbir pihak berkuasa tempatan (PBT) menceritakan beliau didera oleh SPRM di bilik gelap di pejabat SPRM di Johor Bahru dan telah membuat laporan polis.
Perkara ini disahkan Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani yang dimaklumkan berhubung insiden yang menimpa Zul itu berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan selanjutnya.
"Pengadu berkenaan sudah membuat laporan polis, jadi kami serahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menjalankan siasatannya dan jika terbukti dakwaan itu benar, biar pegawai yang terbabit dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya," katanya.
Ini bermakna SPRM sudah ada kes dera saksi maka amat dibimbangi keghairan yang meruap-ruap menyiasat dakwaan penyelewengan exco kerajaan negeri Selangor akhirnya mengundang padah seperti yang menimpa Teoh.
Kata orang tua-tua kalau bergurau biar berpada, takut nanti bawa malapetaka.
Bagaimanapun rakyat Malaysia yang tertanya-tanya mahu pihak polis menjalankan siasatan dan menahan mereka yang terakhir bersama beliau di pejabat SPRM, tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam.
Atau apakah pejabat SPRM juga terdapat 'lembaga' misteri sebagaimana cerita pelajar siswi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, ditemui mati di Kolej Pendeta Zaba, dipercayai terjatuh dari tingkat empat.
Diceritakan rakan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Rosliza, 20-an, berkata sejak mendiami kolej kediaman itu hampir dua tahun lalu, pelbagai cerita mengenai gangguan makhluk halus seperti lembaga hitam tersebar.
Apakah Teoh juga mati kerana 'lembaga misteri'? Siapa lembaga misteri itu? Jin atau manusia?
Apa yang pastinya selagi siasatan tidak dijalankan secara telus selagi itu kematian Teoh jadi tanda tanya dan misteri. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan