Assalamualaikum WBT jom ziarah blog bahasa melayu kami bagi memperolehi maklumat dan gambaran sebenar mengenai berbagai isu dan permasalahan di Dun Kahang dan Dun Paloh Kawasan Sembrong dalam daerah Kluang di Negeri Johor, Malaysia. Teras perjuangan kami adalah Islam adil untuk semua dan slogan kami ialah kita semua bersaudara...
Isnin, 19 Oktober 2009
1MALAYSIA : Amalan seks bebas kritikal
KUALA LUMPUR: Amalan seks bebas di kalangan remaja pada masa ini boleh dianggap memasuki zon kritikal apabila data dikumpul daripada dua rumah perlindungan wanita di Lembah Klang mencatatkan 2,701 kes kehamilan luar nikah sejak 1996 sehingga September lalu.
Jika diambil kira statistik rumah perlindungan lain di seluruh negara, kes yang tidak dilaporkan dan kejadian buang bayi yang berlaku hampir setiap hari, angka sebenar remaja hamil luar nikah pasti meningkat berlipat kali ganda.
Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, berkata sejak beliau membuka rumah perlindungan itu 21 tahun lalu yang secara khusus menguruskan kebajikan wanita hamil luar nikah, secara purata 191 bayi tak sah taraf dilahirkan di Kewaja setiap tahun atau 16 bayi sebulan.
“Lebih membimbangkan, ketika jumlah kes yang saya kendalikan meningkat, usia wanita hamil luar nikah itu makin menurun kerana ada yang baru berusia 15 tahun,” katanya.
Bagi Yang Dipertua Baitul Fiqh, Juhaidi Yean Abdullah, secara purata pihaknya menguruskan lapan hingga 10 wanita hamil luar nikah setiap bulan dan sepanjang lima tahun kewujudannya rumah perlindungan itu menguruskan 220 kes wanita hamil luar nikah.
“Yang dikesalkan, ketika kami beri bantuan kepada wanita hamil luar nikah dengan matlamat utama bagi mengelak mereka menggugurkan kandungan atau membuang bayi, ada yang cuba ambil kesempatan.
“Ini terbukti apabila seorang wanita berulang kali datang kepada kami apabila hamil luar nikah enam kali. Dia akhirnya kami serahkan kepada pusat pemulihan akhlak untuk tindakan lanjut. Ia kes kronik, tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa jika empunya diri tidak mahu mengubah sikap,” katanya.
Juhaidi berkata, bukan mudah menjaga sekumpulan hamil luar nikah dalam satu masa tetapi pihaknya sanggup memikul tanggungjawab itu demi kepentingan anak yang bakal lahir.
Menurutnya, antara bantuan Baitul Fiqh kepada wanita hamil luar nikah ialah mengurus proses kelahiran di hospital dan pendaftaran kelahiran bayi.
“Kami turut membantu mencari ibu bapa angkat untuk bayi itu dengan prosedur ketat. Setiap permohonan disaring dengan mengambil kira latar belakang, pendapatan dan pengetahuan agama,” katanya.
Sementara itu, Yahya menekankan kerjasama seluruh anggota masyarakat bermula daripada pemimpin, guru, agensi penguat kuasa dan ibu bapa untuk menghentikan percambahan anak luar nikah di kalangan masyarakat negara ini.
“Trend wanita lahir anak luar nikah kini sangat membimbangkan kerana ia dianggap perkara biasa dan bukan lagi hal besar. Bayangkan, hampir setiap hari secara purata saya terima dua panggilan telefon berkaitan masalah hamil luar nikah.
“Sampai satu tahap Kewaja terpaksa tolak permintaan mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan kerana kami tidak lagi mampu. Namun mereka tetap mendesak dan ada yang merayu,” katanya.
Ditanya punca meningkatnya kes kehamilan luar nikah, Yahya, 45, merumuskan masalah keluarga menjadi penyebab utama.
“Ibu, ayah, adik beradik dan keluarga hidup dalam penuh kejahilan. Penghayatan agama entah ke mana dan ada ibu bapa menyalahkan anak kerana ‘tidak pandai jaga’ yang bermaksud boleh melakukan hubungan terlarang tetapi jangan sampai mengandung.
“Kesudahannya, walaupun bertaubat dan menyesal, suasana kehidupan seperti itu menyebabkan mereka kembali terjebak. Apa pun, kes berulang seperti ini tidak banyak, ” katanya.
Beliau mencadangkan satu peraturan yang membuatkan sesiapa saja takut untuk terbabit dengan seks bebas sehingga mengandung anak luar nikah diwujudkan.
“Sebagai contoh, mana-mana pasangan yang dikesan melakukan hubungan seks selain suami isteri, tidak kira sama ada yang beragama Islam atau dengan pasangan berbeza agama, mereka perlu dihukum.
“Operasi seperti mencegah lumba haram atau dadah juga perlu diselitkan dengan siasatan sama ada yang terbabit dengan gejala negatif itu melakukan seks bebas. Tangkap dan hukum mereka, baru timbul perasaan takut,” katanya yang kini menguruskan 61 wanita hamil luar nikah di pusat perlindungan kelolaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan