Assalamualaikum WBT jom ziarah blog bahasa melayu kami bagi memperolehi maklumat dan gambaran sebenar mengenai berbagai isu dan permasalahan di Dun Kahang dan Dun Paloh Kawasan Sembrong dalam daerah Kluang di Negeri Johor, Malaysia. Teras perjuangan kami adalah Islam adil untuk semua dan slogan kami ialah kita semua bersaudara...
Selasa, 27 Oktober 2009
PASTI akan buang hadis palsu dalam teks prasekolah
Logo PASTI, Hadis Palsu terdapat dalam Buku Teks Pelajaran Al-Quran Tahap 2 (6 Tahun) m/s 37 ketua Penyunting adalah Roseman, Penyunting Ustaz Azhar, Penulis Salmiah dan Ustaz Md Nazri cetakan pertama 2005, kedua 2006 dan ketiga 2007.
Jabatan Pendidikan Prasekolah PASTI akan membuang satu hadis yang didakwa palsu dalam buku teks kanak-kanak enam tahun dalam edisi baru, seawal-awalnya diterbit pada 2011, kata seorang pegawainya.
Jabatan itu yang mengurus Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) akan mengeluarkan buku teks baru untuk murid tahap dua, kata setiausaha eksekutifnya Kamarul Arif Ambak.
PASTI masih lagi menggunakan buku Pelajaran Al-Quran – yang didakwa menyiarkan hadis palsu itu – cetakan tahun 2005.
"Sudah lama timbul isu ini, kita sudah bincang tiga, empat tahun lepas kerana masih ada yang berpandangan ia boleh dipakai.
"Kita masih belum tukar versi baru. Kita ambil perhatian, kita tidak mahu ada perbezaan pandangan sehingga menjadi perbalahan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan seorang ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pahang di blog peribadinya, Selasa lalu.
Khairul Azmi Ismail mendedahkan, hadis berbunyi "hubbul watan minal iman" atau maksudnya "mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman" diletakkan di halaman 37 teks tersebut.
"Sebenarnya ia bukanlah hadis yang sahih atau hasan (boleh disebarkan) malahan dhaif (lemah) pun bukan, bahkan ia merupakan hadis yang palsu yang tidak sepatutnya dimasukkan ke dalam silibus anak-anak kita," katanya.
Selepas merujuk beberapa sumber ulama, beliau menyimpulkan bahawa "hadis ini memang jelas kepalsuannya, sehinggakan para ulama hadis tidak menjumpainya di mana-mana kitab pun dan tidak diketahui siapakah perawinya" dan "hadis palsu haram diajarkan melainkan untuk memberitahu kepalsuannya".
Khairul Azmi menggesa penyusun sukatan pelajaran PASTI membuat penelitian semula dan penambahbaikan terhadap teks-teks rujukan murid supaya kesilapan seumpama ini tidak berulang.
Menurut Kamarul Arif lagi, Jabatan PASTI PAS pada asalnya bercadang menerbitkan edisi baru buku teks itu tahun ini tetapi gagal kerana ia masih di peringkat penyusunan dan reka letak buku tersebut.
Tambahnya, kedua-dua proses tersebut "memerlukan masa yang agak panjang".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan