KEAJAIBAN MAHA PENCIPTA ... Seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria menunjukkan ikan toman bunga peliharaannya yang tertera kalimah Allah pada badan ikan itu. Mustapa memelihara ikan itu lebih setahun lalu apabila rakannya memberi ikan tersebut yang dipancing di Sungai Kampung Rasa, Pasir Puteh. Kalimah Allah itu kelihatan lebih jelas menjelang malam ekoran badan ikan yang lebih bercahaya. -Foto BERNAMASEORANG peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria, 53, tidak sangka ikan toman bunga yang dipelihara lebih setahun lalu ada tulisan kalimah Allah di kedua-dua belah badannya.
Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, beliau menyedari mengenai perkara itu apabila diberitahu oleh imam rancangan tanah berkenaan, Nordin Ariffin, yang mengunjungi rumahnya ternampak tulisan itu.
"Saya pada mulanya tidak percaya ada tulisan kalimah Allah tetapi selepas saya amati ikan yang saya pelihara di dalam akuarium itu, ternyata ia adalah benar.
"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada peneroka menawarkan harga RM300," katanya.
Mustapha berkata dia memperolehi ikan toman itu daripada rakannya di Kampung Rasa, Pasir Puteh, selepas rakannya memancing di sungai kampung terbabit.
Beliau berkata semasa membawa balik ikan toman itu lebih setahun lalu saiznya lebih kecil dalam sekitar setengah kilogram sahaja tetapi sekarang bertambah besar hingga mencapai lebih satu kilogram.
"Memang pada mulanya saya tidak berniat untuk memelihara lebih lama kerana sebelum ini saya pernah memelihara ikan jenis serupa dan menjualnya kepada orang lain," katanya.
Namun, tambah beliau kali ini dia akan terus menjaga dengan baik ikan toman berkenaan yang semakin bercahaya dan semakin ramai peneroka rancangan tanah terbabit datang melihatnya setiap hari.
"Menjadi hobi saya memelihara ikan dalam akuarium sejak usia remaja lagi tetapi ini adalah pertama kali ikan yang saya pelihara ditemui ada tulisan kalimah Allah.
"Ikan toman ini lebih bercahaya pada waktu malam hingga tulisan kalimah jelas kelihatan," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan