Ahad, 29 November 2009

Sesat di Gunung Cari Penawar, Amaran : Jauhi Maksiat?


Foto Kaki Gunung Tebu yang cantik tetapi AWAS jangan buat maksiat kat sini nanti sesat tak jumpa jalan pulang

BESUT - Seramai lima remaja yang disyaki sesat di kawasan Gunung Tebu, dekat Jabi, sejak petang kelmarin, akhirnya berjaya turun semula ke kaki gunung terbabit, pagi semalam dalam keadaan selamat.

Dua daripada remaja terbabit dikatakan memulakan pendakian jam 12.30 tengah hari kelmarin, dengan tujuan mencari penawar bagi merawat penyakit dihidapi salah seorang daripada mereka.

Teman wanita

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, Mohd Asri Awang, 23, dari Machang, Kelantan dan teman wanitanya, Ku Yah Wan Jusoh atau Wan Haneesu, 22, mula mendaki gunung berkenaan melalui kawasan perkelahan Lata Belatan.

Menurutnya, selepas itu, mereka menghubungi tiga lagi rakan, Mohd Khaidir Che Nor, 24, Mohd Shahdan Salleh, 14, masing-masing dari Kampung Anak Musang dekat Jabi dan Mohd Nor Iqbal Mohd Yusli, 18, dari Machang supaya menghantar makanan kepada mereka di gunung terbabit.

“Berikutan itu, tiga rakan mereka mula mendaki gunung pada jam 3 petang hari sama dan kali terakhir mereka dapat berhubung dengan rakan di luar kawasan berkenaan, jam 2.45 petang, mengatakan mereka tidak menemui Mohd Asri serta Ku Yah,” katanya.

Kamaruddin berkata, mereka juga memaklumkan tidak dapat turun kerana cuaca gelap dan selepas itu perhubungan melalui telefon bimbit mangsa terputus.

Menurutnya, penjaga di kawasan perkelahan itu telah menasihatkan mereka supaya jangan mendaki gunung berkenaan kerana cuaca tidak baik dan hari sudah lewat namun mereka tetap mahu mendaki dipercayai mahu mencari penawar.

“Disebabkan mereka tidak turun sehingga malam kelmarin, menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan pagi semalam, membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan