Sabtu, 13 Februari 2010

Kerajaan alami kemelut ekonomi


PAS: K'jaan Najib alami masalah kewangan serius

PAS melihat kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan kritikal di mana kementerian dan agensi kerajaan, kini diarah untuk melaksanakan perbelanjaan berhemah.

“Sebelum ini kerajaan mengarahkan agar semua pejabat kerajaan mematikan lampu dan semua peralatan elektrik di waktu rehat sebagai langkah penjimatan bil elektrik,” kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.

“Kemudian kerajaan membuat dasar mengurangkan aktiviti latihan, peperiksaan dan mengarahkan kementerian serta jabatan agar tidak membuat begitu banyak program di hotel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaubagaimanapun, kata Idris, tidak semua arahan tersebut dipatuhi.

“Langkah terbaru kerajaan cuba membekukan aktiviti latihan di beberapa jabatan.

tak mampu bayar bonus

“Tahun lepas sahaja, satu juta kakitangan awam kecewa kerana kerajaan sudah tidak mampu membayar bonus dan Najib mengantikannya dengan wang saguhati RM500 yang dibayar secara ansuran oleh kerajaan,” katanya lagi.

Menurut Idris, kerajaan juga didapati telah mengeluarkan arahan tidak rasmi di beberapa kementerian untuk tidak memberikan bayaran berbentuk wang kepada kakitangan yang bekerja lebih masa.

“Pada waktu ini, kerajaan hanya membenarkan kakitangannya untuk mendapat cuti gantian memandangkan bajet pengurusan telah dikurangkan.

“Kerajaan turut membuat dasar mengurangkan pengambilan baru untuk kakitangan sokongan dan profesional serta melanjutkan tempoh perkhidmatan pegawai yang sepatutnya pencen melalui skim kontrak selama dua atau tiga tahun.

“Semua kakitangan kontrak pula dijangka ditamatkan kontrak bermula pada bulan Mac hingga Jun ini,” katanya.

kadar pengangguran tinggi

Menurut Idris lagi, PAS melihat negara bakal mengalami peningkatan kadar pengangguran yang tinggi menjelang Mac ini ekoran begitu ramai kakitangan kontrak kerajaan ditamatkan perkhidmatan.

“PAS menyarankan agar kerajaan memberikan peluang kepada kakitangan kontrak yang ditamatkan ini untuk menyertai GLC milik Kerajaan dan meminta syarikat-syarikat GLC ini agar mengurangkan pengambilan pekerja asing. PAS mendesak agar jumlah kemasukan pekerja asing dikurangkan di semua sektor sebelum akhir 2010.

“PAS juga mahu kerajaan menumpukan perbelanjaan mengurusan dan dalam masa yang sama mengurangkan perbelanjaan pembangunan. Projek pembangunan yang tidak perlu atau tidak mendesak, wajar dibekukan pada masa ini,” tambahnya.

Menurut Idris lagi, beberapa program ekonomi baru perlu diwujudkan, tetapi PAS menolak cadangan kerajaan yang mahu memperkenalkan GST, kerana ianya tidak releven dengan keadaan ekonomi rakyat pada masa ini.

“Pada waktu inflasi sebegini, bantuan kerajaan amat diperlukan tetapi jika kerajaan menaikkan cukai atau meluaskan pakej cukainya, maka peningkatan harga barangan pengguna dipasaran tidak boleh dihalang.

“Tindakan kerajaan menarik beberapa subsidi dalam keadaan sekarang juga dilihat tidak bijak, kerana ianya tidak memberikan manfaat mutlak kepada pengeluar dan pengguna,” tegasnya.

program pertanian menyusut

PAS juga hairan, katanya, kenapa Najib mengurangkan tumpuan kepada program pertanian yang sebelumnya diusahakan di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi “tetapi lebih sibuk mengejar usaha rundingan FTA dengan negara luar khususnya Amerika.

“Untuk rundingan dengan Amerika sejak empat tahun yang lalu, negara telah belanjakan lebih sejuta wang rakyat, sedangkan belum ada apa-apa perjanjian yang berjaya dimeterai.

“PAS berharap agar sebarang rundingan FTA dengan negara luar dibekukan buat sementara waktu memandangkan penguatkuasaan dalam negara pada masa ini terlalu lemah hingga menyebabkan negara menjadi pusat lambakan barangan dari negara China yang mengambil peluang dari perjanjian FTA-China ASEAN.

“Negara akan bankrap jika kerajaan yang dipimpin Najib gagal untuk membangunkan sumber-sumber kewangan baru dan merancang perbelanjaan kerajaan secara bijak,” tambah Idris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan