Penjaga kebun putih mata
TAMAN KOTA, Johor - Seorang penyamun bersenjata diberkas dalam masa kurang empat jam setelah mangsa membuat laporan polis pada jam 6.30 pagi di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, sebuah kedai menjual hasil laut di Taman Saujana yang beroperasi 24 jam disamun penyamun terbabit dengan menggunakan helah mengenali pemilik premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, suspek membuat helah untuk masuk ke dalam premis berkenaan sehingga petugas wanita di kedai itu membuka pintu selepas mempercayai kata-kata suspek.
Premis berkenaan dikatakan melakukan urusan jual beli melalui kaunter tingkap selepas tengah malam atas faktor keselamatan.
Selepas 10 minit berada di dalam kedai, suspek menghampiri petugas wanita itu dan mengacu pisau di perut mangsa serta merampas wang tunai yang terdapat di kaunter kedai.
Suspek dikatakan merampas telefon bimbit mangsa tetapi mangsa merayu dan atas kesulitan yang dihadapi, suspek memulangkan semula telefon bimbit petugas wanita terbabit.
Osman berkata, suspek yang berasal dari Ipoh dan berusia 23 tahun itu bekerja menjaga kebun di sini.
Hasil serbuan di rumah sewa suspek pada jam 9.30 pagi, polis menemui RM820 dan merampas motosikal milik majikannya yang digunakan dalam kejadian samun berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan sepasukan polis diketuai Inspektor Wan Nasrul Wan Ismail menyiasat dan meneliti imej litar kamera tertutup (CCTV) yang dipasang di kedai berkenaan.- Sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan