Isnin, 24 Mei 2010

Belum merdeka media kita rupanya

KDN rampas tabloid Kabar Era Pakatan
Salhan K Ahmad
Mei 24, 10
1:20pm

Baru dua bulan di pasaran, tabloid politik - Kabar Era Pakatan - sudah berdepan dengan tekanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) apabila kira-kira 3,000 nashkah tabloid tersebut dirampas Jumaat lalu kerana memuatkan isu yang menyentuh perdana menteri.
.
Akhbar yang dirampas itu merupakan nashkah edisi pertama (5 hingga 20 April) dan edisi ketiga (9 hingga 22 Mei).

Ketua pengarangnya, Mat Zahari Ali hairan mengapa akhbar tersebut dirampas sedangkan KDN tidak mengeluarkan apa-apa notis kepadanya sebelum tindakan tersebut diambil.

Sepatutnya, kata beliau, KDN bertindak lebih profesional dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada mereka sebelum mengambil tindakan seperti itu.

Tambahnya, nashkah tersebut dirampas di beberapa premis pengedar di Ipoh dan Taiping di Perak dan juga Gombak, Selangor.

"Ada juga dirampas di kedai-kedai, saya percaya ia bertujuan menakut-nakutkan penjual," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mat Zahari mendakwa, beliau tidak menerima apa-apa surat daripada kementerian tersebut yang boleh mengesahkan rampasan berkenaan.

"Cuma pada Jumaat lalu saya dimaklumkan (oleh seorang pegawai kementerian) melalui telefon dan melalui e-mel supaya berjumpa mereka bersabit soal permit.

"Tapi mereka langsung tidak cakap mengenai rampasan. Apabila saya tanya (telefon) beberapa orang pegawai kementerian, mereka meminta saya merujuk kepada pegawai atasan.

"Jadi saya rasa tindakan ini diambil dari segi politik, kerana isu-isu yang dimuatkan," katanya.

Keluaran pertama akbar tersebut mengandungi tajuk utama "Siasat hubungan Najib-APCO: Anwar" manakala keluaran ketiga pula digariskan dengan tajuk besar "Najib, Razak Baginda tersenarai" berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene.

Mat Zahari sebelum ini merupakan ketua pengarang Konsep Era Pakatan yang berjaya diterbitkan sebanyak 20 keluaran, namun permit tabloid politik itu tidak diperbaharui sejak September tahun lalu.

Berikutan itu, beliau menerajui pula tabloid Kabar Era Pakatan yang mula diterbitkan dengan kekerapan dua minggu sekali sejak awal April lalu.

Mat Zahari menjelaskan, keluaran pertama itu adalah berkenaan hubungan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan firma perundingan awam Apco Worldwide.

"Keluaran ketiga (kanan) pula pula berkenaan skandal pembelian kapal selam Scorpene," katanya.

Katanya, kesemua pegawai KDN yang dihubunginya enggan memberi penjelasan memuaskan.
Pagi ini beliau ke ibu pejabat KDN di Putrajaya untuk bertemu dengan seorang pegawai bernama Abdul Razak Abdul Talib, daripada bahagian permit penerbitan.

"Saya tanya dia kenapa akhbar ini dirampas, dia kata dia tak tahu kerana itu (urusan) bahagian penguatkuasa.

"Saya hairan kenapa bahagian penguatkuasa tidak rujuk bahagian permit. Sepatutnya (Abdul Razak) maklum dengan perkara itu," katanya.

Mat Zahari berkata, beliau kini sedang berusaha untuk menghubungi ketua setiausaha bahagian kawalan penerbitan tersebut Datuk Zaiton Abdul Samad.

"(Ada pegawai) yang kata tindakan itu sebab tajuk tidak sama dengan contoh penerbitan yang dihantar kepada kementerian," katanya lagi.

Mat Zahari berkata, pegawai berkenaan juga memberitahunya bahawa penerbitan itu dikeluarkan tanpa permit.

"Kenapa pula (sebab) tidak ada permit, sebab di (kepala) akhbar ini memang dicetak sekali nombor permit," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan