Buang Bayi Dalam Kotak Susu di Kulai
KULAIJAYA: Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan, diletakkan di dalam kotak susu sebelum ditinggalkan di hentian bas di hadapan Sekolah Menengah Munsyi Abdullah, di sini, awal pagi semalam. Ketika ditemui seorang lelaki kira-kira jam 4.50 pagi, bayi berkenaan masih bernyawa, bagaimanapun meninggal dunia tidak lama kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Kulai, di sini.
Zulkifli Samsi, 40, yang menemui bayi berkenaan berkata, pada waktu itu dia yang menaiki kereta sedang dalam perjalanan untuk minum di gerai berhampiran rumahnya dan melihat sebuah kereta berhenti di hadapan sekolah berkenaan.
"Dalam keadaan samar-samar, saya melihat kelibat orang keluar dari kereta itu sambil membawa sesuatu. Dalam keadaan kelam kabut, dia meletakkan objek dibawanya di hentian bas berkenaan sebelum memecut laju ke arah Johor Bahru.
"Kerana ingin tahu, saya kemudian berhenti dan mendapati sebuah kotak susu ditinggalkan di situ. Saya kemudian mengambil sebatang kayu untuk membuka kotak berkenaan sebelum terpandang wajah bayi yang diam membisu dibalut dengan kain.
"Tanpa berfikir panjang saya mencapai kotak itu dan masuk ke dalam kereta menuju ke HK. Ketika dirawat, saya dapat melihat jarinya bergerak sebelum disahkan sudah meninggal dunia," katanya di sini, semalam.
Zulkifli berkata, dia berdoa sepanjang perjalanan ke hospital supaya bayi yang masih bertali pusat itu akan dapat hidup. Katanya, bayi itu meninggal dunia sewaktu azan Subuh sedang berkumandang walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membantunya terus hidup.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan