Harga saham dijangka alami pembetulan
KUALA LUMPUR 23 Mei - Harga-harga saham di Bursa Malaysia dijangka menjalani lebih banyak pembetulan dengan kecenderungan meningkat minggu depan, di celah-celah ketidaktentuan pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat dan krisis hutang zon euro, kata para peniaga.
"Unjuran tidak menentu dan kita mungkin melihat satu lagi pusingan pembetulan," kata Ketua Inter-Pacific Research, Anthony Dass.
"Kebimbangan utama ialah krisis Eropah dengan pelabur berwaspada bahawa kadar pemulihan ekonomi akan perlahan apabila kerajaan bertindak balas terhadap krisis hutang itu dengan pemotongan perbelanjaan," katanya.
Selain Eropah, data pengangguran AS yang lebih tinggi dan indeks petunjuk ekonomi yang menganggarkan pertumbuhan ekonomi negara itu di masa depan, yang lebih rendah dari jangkaan, telah mengakibatkan kebimbangan dalam pasaran tempatan, kata Anthony.
"Berdasarkan kelemahan sekarang, aliran itu akan berterusan buat sementara waktu, tetapi saya percaya pasaran akan pulih selepas itu," katanya.
Menurut para peniaga, bursa tempatan akan melihat sedikit pemulihan teknikal minggu depan selepas berada dalam zon negatif selama enam hari berturut-turut.
Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI), mengakhiri minggu lebih rendah, hampir mencecah paras paling rendah lima bulan, selaras dengan kelemahan pada pasaran serantau, yang menyaksikan Indeks MSCI Asia Pacific jatuh kepada tahap paling rendah sembilan bulan pada Jumaat.- Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan