Menteri Agama Jamil Khir juga lulusan agama
Awal millenium, pasca kekalahan besar parti pemerintah di dua negeri Pantai Timur selepas ditiup gelombang reformasi, desas desus militan bakal mengamuk timbul. Heboh diperkatakan di seluruh tanah air, dada-dada akhbar terpampang tajuk-tajuk dengan tulisan gemuk hitam. Sekolah Agama Rakyat (SAR) menjadi mangsa tuduhan yang tidak berasas itu.
Tidak sedikit guru-guru dari SAR berpindah khemah mendaftarkan diri ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Tidak sedikit juga jumlahnya pelajar yang sedang khusyuk dilentur dan diasuh di bawah teduhan atap zink lusuh yang menjadi atap SAR dipindahkan ke sekolah kementerian oleh ibu bapa yang melatah dengan isu tersebut. Yayasan Islam Kelantan bagaikan lumpuh seketika. Gergasi pendidikan Kelantan, Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan juga merasai tempias itu. Saya yang masih berada di pondok tahfiz juga tidak terkecuali. Sanak-saudara yang 'nipis akidahnya' mendesak ibu agar memindahkan sahaja saya dari 'pondok militan' ke sekolah kementerian.
Tangkapan ISA dikenakan kepada beberapa individu yang tidak berdosa. Kebanyakan mereka adalah pimpinan mahasiswa dan pelajar lepasan Timur Tengah. Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz adalah salah seorang mangsanya.
Itu kisah awal Millenium. Kisah selepas parti pemerintah terdesak dengan kekalahan besar di dua negeri. Kisah selepas gelombang reformasi menggegarkan kerusi empuk memanda Perdana Menteri.
Kisah hari iniAwal 2009, seorang MP Pakatan Rakyat mendedahkan adanya benih-benih idea dan pemikiran Israel dalam pentadbiran negara. Pembuktian dan pembongkaran bermula dengan proses pembelian Jet Sukhoi, krisis helikopter Nuri, kapal selam dan beberapa lawatan pimpinan negara ke Amerika Syarikat serta pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia bersama Ehud Barak, pemimpin kerajaan haram Israel pada Jun 2009 di Perancis.
Hasil dari itu, satu gerakan besar-besaran dijalankan untuk membasuh [baca: menutup] tuduhan itu. Kursus-kursus seliaan kerajaan [parti kerajaan] pastinya akan mendoktrinkan pemahaman yang tidak menyenangkan kepada para peserta. Saya teringat sebuah kursus yang saya hadiri di sebuah negeri Pantai Barat. Fasilitator mencucuk jarum kebangsaan dan menayangkan klip-klip video 'kajian' yang membuktikan bahawa beberapa orang figur parti oposisi berkait langsung dengan Yahudi, zionis, Israel serta Amerika.
Saya tak suka dicucuk hidung. Saya lebih suka mengkaji sendiri. Mencucuk hidung saya bermaksud mengajar saya untuk memusuhi anda!
Beberapa bulan kemudian, satu kenyataan yang mengejutkan semua pihak dibuat oleh MP PR tersebut. Malaysia telah melantik Israel melalui proksinya Apco Worldwide melalui Ethos Consulting untuk memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada kerajaan tentang perkara-perkara tertentu. Kenyataan itu seakan terbukti benar apabila PM melancarkan slogan One Malaysia yang dikaitkan langsung dengan One Israel tidak lama sebelum itu. Selesai.
Sebulan yang lepas, 29 Mei 2010. Lebih sepuluh rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa selepas Kapal Mavi Marmara diserang secara haram lagi zalim oleh tentera Israel. Beberapa hari kemudian, tangkapan kedua dibuat selepas Kapal Rachel Corrie ditahan dengan cara yang sama oleh tentera Israel. Kedua-dua kapal tersebut sedang dalam perjalanan ke Pelabuhan Gaza bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Serangan dan penangkapan itu mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia. Malaysia agak malu-malu menyatakan kutukan. Amerika pula mengambil masa lebih 10 jam untuk menyatakan pendirian. Tak seperti negara-negara lain yang lebih awal menyatakan pendirian penentangan terhadap serangan tersebut. Lebih menjanggalkan, kedua-dua kapal yang diserang dan ditawan serta dirampas Israel itu dinaiki sama oleh rakyat Malaysia!
Lebih menghairankan lagi, tidak sampai sebulan selepas serangan Israel ke atas Kapal Mavi Marmara dan Rachel Corrie, Malaysia mengisytiharkan perang ke atas Jemaah Islam dan militan di Malaysia. Beberapa individu penting terlibat dengan tuduhan sembrono termasuk Dr. Asri, Dr. Juanda dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Saya berkira-kira, apakah tujuannya isu JI dan militan ini dibongkar semula secara besar-besaran? Dua jawapan bermain di kepala. Ia sama ada kerana mendapat nasihat dari Israel melalui Apco mahupun Amerika disebabkan ketegasan sesetengah rakyat Malaysia dalam isu kezaliman Israel ke atas Gaza ataupun sebagai penutup isu-isu besar yang sedang berlegar di minda rakyat Malaysia hari ini. Isu Apco, kerugian Felda, kerugian telaga blok M dan L, enjin jet, kapal selam, rampasan royalti Kelantan, kewangan defisit negara, kezaliman polis serta judi bola dan pelbagai isu-isu lain. Justeru, jangan mudah tenggelam dengan isu JI dan militan.
Namun, persoalan seterusnya timbul, siapa militan...? Siapa pula JI...? Militan dalam Kamus Dewan Bahasa ialah:
- Bersedia untuk berjuang.
- Bersemangat dan jati diri yang tinggi.
- Aktif dalam perjuangan.
Maka, saya juga ingin mengaku sebagai militan kerana saya bersemangat, saya sememangnya sentiasa aktif berjuang di dalam dakwah Islam dan saya mempunyai jati diri yang tinggi. Saya juga ahli Jemaah Islam kerana saya adalah muslim yang tegar dengan syahadah dan aqidah. Saya thabat dengan Islam sebagai deen dan perlembagaan hidup. Apakah saya juga akan ditangkap...?
Namun di sudut lain pula, andai skrip di awal millenium digunapakai pada hari ini, maka sasarannya adalah golongan agama. Sekolah agama, pelajar agama, persatuan agama, guru agama dan institusi agama dan institusi ulama.
Maka, bersiap sedialah wahai golongan yang menjadikan Islam sebagai panduan hidup, anda mungkin termasuk dalam senarai JI atau militan di Kementerian Pertahanan Malaysia.
Para pimpinan dan penggerak Pakatan Rakyat umumnya dan PAS khususnya perlu bersedia. Para pimpinan mahasisawa dan Persatuan Mahasiswa Islam di kampus-kampus juga perlu berhati-hati. NGO-NGO Islam juga harus beringat-ingat. Pelajar-pelajar Timur Tengah juga tidak akan ketinggalan. Mesir, Syria, Jordan, Saudi, Yaman dan yang sewaktu dengannya. Tidak kurang juga kepada rakan-rakan yang berorganisasi [militansi?] dengan cara Islam di negara-negara Eropah. Anda semua mungkin sasaran Israel!!
Anda akan dijadikan penutup tempayan budu yang berulat kerajaan. Menutup isu-isu besar negara dari pandangan rakyat bawahan.
Hasanhusaini,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan