Dzulfikar Mashoor |
PETALING JAYA, 1 Jun: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyenaraian lebih banyak senator dalam kabinet baru seakan memberi gambaran bahawa ahli parlimen BN tidak layak dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri. "Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kebanyakan ahli-ahli parlimen yang kanan di Dewan Rakyat mungkin tidak layak menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kabinet baru ini," jelas beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemimpin Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR, Tropicana lewat petang tadi. Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mencadangkan Najib supaya mengadakan pilihan raya kecil dengan meletakkan para senator yang baru dilantik bertanding dan menjadi Ahli Parlimen bagi menggantikan segelintir ahli parlimen BN yang sedia ada. "Elok Datuk Seri Najib adakan suatu pilihan raya kecil untuk memilih dari kalangan senator-senator terbabit menjadi ahli parlimen, ganti mana-mana ahli Parlimen BN yang dirasakan Najib tidak layak," ujar beliau yang juga Ketua Umum PKR. Sebelum pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mempersoal tindakan Najib melantik banyak senator untuk menganggotai kabinet baru beliau. Dengan perlantikan tersebut, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, langsung tidak mencerminkan sebuah 'Kabinet Rakyat'. Ini kerana, menurut beliau, pemilihan beberapa senator terbabit bukannya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang demokratik, tetapi dipilih oleh Najib berasaskan kepentingan politik sempit parti-parti komponen BN semata-mata. Katanya lagi, tindakan Najib melantik lebih ramai pemimpin MCA walaupun mungkin untuk menangani konflik kepentingan dalam parti perkauman Cina itu, tetapi perlantikan tersebut adalah sia-sia. "Saya tidak nampak (perlantikan) ini sebagai suatu nilai tambah untuk MCA dan BN tidak mungkin boleh memulihkan keyakinan rakyat dengan perlantikan itu," ujar beliau. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula mengganggap pembentukan kabinet yang baru itu semata-mata untuk memulihkan kepercayaan rakyat. Perlantikan tersebut menurut beliau, sebenarnya lebih untuk menangani masalah dalaman MCA dan BN sendiri. Petang tadi, Najib mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Seri Kong Cho Ha yang kini menjadi Menteri Pengangkutan, menggantikan Tee Keat. Beliau juga mengumumkan pelantikan dua ahli parlimen (MP) sebagai timbalan menteri iaitu MP Serian, Datuk Richard Riot Jaem sebagai Timbalan Menteri Luar dan MP Labis yang juga anak Dr Chua Soi Lek, Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani). Empat senator turut dilantik sebagai timbalan menteri yang baru ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G. Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi; Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Naib Presiden Kanan Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk Maglin Dennis D'Cruz (Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) dan Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan). |
Assalamualaikum WBT jom ziarah blog bahasa melayu kami bagi memperolehi maklumat dan gambaran sebenar mengenai berbagai isu dan permasalahan di Dun Kahang dan Dun Paloh Kawasan Sembrong dalam daerah Kluang di Negeri Johor, Malaysia. Teras perjuangan kami adalah Islam adil untuk semua dan slogan kami ialah kita semua bersaudara...
Rabu, 2 Jun 2010
Kabinet senator bukan kabinet rakyat
Ahli parlimen BN tidak layak anggotai kabinet Najib
Tiada ulasan:
Catat Ulasan