Rabu, 2 Jun 2010

Moga keluarga sukarelawan sabar dan tabah

Isteri syukur suami selamat
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 2 Jun: Semua isteri sukarelawan mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah sebaik mendapat khabar tentang suami mereka selamat selepas kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara diserang tentera rejim haram Israel pagi kelmarin.

Isteri Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Haji Jamuliddin Elias, Puan Rosfazilah Mohd Nor dan isteri wakil Muslim Care, Abdul Halim Ridzuan, Puan Nurdalela Abdul Alim ketika dihubungi menyatakan kegembiraan ekoran perkembangan itu.

Mereka mendapat berita itu daripada Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) dan Sokongan Keluarga Misi LL4G Malaysia, Zulkifli Mohd Nani petang semalam.

(Gambar Nurdalela dan anaknya, Humaira)

Menurut Puan Rosfazilah, khabar selamat dari Saudara Zulkifli tentang keselamatan semua sukarelawan Malaysia itu bertambah lagi apabila pihak Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa mereka pulang.

Katanya, rombongan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Dr Abd Rani Osman seramai lapan orang yang baru pulang dari Turki datang ke kediamannya kami sebaik mendarat dari sana, semalam.

Puan Nurdalela pula bersyukur dan menyatakan terima kasih di atas sokongan kawan-kawan beliau dan suami yang datang menziarahi keluarganya siang semalam.

Petang kelmarin, di dalam sidang akhbar yang mereka hadiri, isteri-isteri sukarelawan Malaysia ini tetap perlihatkan semangat kental meski nasib suami mereka masih lagi belum terjamin selamat.

Namun dengan berkat didikan suami dan jemaah perjuangan Islam yang setiap mereka turut dokongi, menjadikan jiwa mereka kebal, tetap dan tegap.

Kesempatan mendengar luahan rasa isteri Ketua Delegasi Malaysia, Haji Noorazman Mohd Shamsudin, Puan Mazlina Ghazali (memegang mikrofon), Puan Rosfazilah dan Puan Nurdalela menyerlahkan kekuatan dalaman yang dimiliki.

Mereka masih mampu menzahirkan semangat kuat dan daya juang tinggi melalui perkataan mereka di hadapan hadirin termasuk warga media yang mengikuti perkembangan terkini di dalam sidang akhbar itu.

Beliau bersama empat isteri sukarelawan lain dan dua anak peserta konvoi menyatakan isi hati mereka dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel dekat sini.

Memang ketika itu, nasib suami-suami mereka masih tidak dapat dipastikan sama ada selamat, tertembak atau diapa-apakan oleh zionis Israel.

Kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara yang dinaiki sekitar 800 sukarelawan dari 50 negara telah ditembak dalam jarak 65 km di dalam perairan antarabangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan