Sabtu, 14 Ogos 2010

Husam: Emas dinar, dirham perak bukan matawang

Exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa menafikan laporan Bernama semalam berhubung penggunaan emas dinar dan dirham perak sebagai matawang.

Katanya, emas dan perak berkenaan tidak pernah diumumkan sebagai matawang, sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi berita itu.

"Siapa yang kata (ini matawang). Kita tidak pernah kata ini sebagai matawang. Tapi dari segi syariah, ia memang boleh dianggap sebagai matawang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Katanya lagi, beliau hadir ke majlis pelancaran tersebut semalam dan tidak mendengar menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan emas dan perak itu sebagai matawang.

"Mungkin (Bernama) terlalu terkejut dengan berita itu dan hendak buat sensasi. Kita pun tak pernah kata ini sebagai matawang. Tapi nilainya itu ada," katanya lagi.

Jelaskan, dinar dan dirham tersebut sebenarnya digunakan untuk pertukaran barangan.

"Di mana-mana negara pun, (pertukaran barang) ini dibenarkan. Contohnya kalau seseorang itu ada wau, dia hendak gunakan untuk tukar dengan beras. Kalau ada orang setuju, dia bolehlah guna untuk tukar dengan beras," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan timbalan menteri kewangan, Datuk Awang Adek Hussein berhubung pelancaran dinar dan dirham tersebut.

Awang Adek, seperti dilaporkan Berita Harian hari ini berkata, hanya kerajaan persekutuan melalui Bank Negara Malaysia mempunyai hak mutlak untuk mengeluarkan matawang.

Awang Adek juga dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mengeluarkan mata wang.

Mengulas kenyataan tersebut, Husam berkata: "Semua orang tahu kerajaan negeri tidak boleh keluarkan matawang. Datuk Awang Adek yang tak faham."

Tambahnya, kerajaan negeri juga tidak perlu membuat rundingan dengan Bank Negara Malaysia untuk menjadikan dinar sebagai matawang.

"Sebab kita tidak pernah kata nak jadikan dinar ini sebagai matawang," katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan, fungsi Bank Islam dan Tabung Haji sebagai ejen untuk menerima mata wang syariah itu berurusniaga, juga tidak tepat seperti dilaporkan Bernama.

Jelasnya, emas dan perak itu sebaliknya boleh disimpan di Bank Islam melalui skim Ar-Rahnu.

Tambahnya, kerajaan negeri juga mencadangkan untuk membolehkan ianya digunakan sebagai bayaran untuk mengerjakan haji kepada Tabung Haji.

Dinar dan dirham itu dilancarkan semalam di Kota Bharu sebagai medium pembayaran zakat. Pada majlis berkenaan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan