Khamis, 19 Ogos 2010

Pekauman menakut-nakutkan rakyat

Anwar: 'Perang besar' M'sia, Umno tiup sentimen kaum

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak laporan Utusan Malaysia kononnya 'perang besar' boleh berlaku di Malaysia sekiranya kerajaan gagal menangani isu perkauman yang bebas diperdebatkan secara terbuka sekarang.

Katanya, ia tidak lain daripada percubaan terakhir Umno yang kini sudah tenat untuk meraih sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

"Saya tak mahu layan Utusan," katanya kepada wartawan pada sidang media di ibupejabat PKR di Tropicana Petaling Jaya hari ini.

Menurut Anwar Umno yang sekarang kehilangan pengaruh untuk memerintah negara, mula dilihat memainkan sentimen perkauman.

"Kita berhadapan dengan satu parti yang sudah tenat dan tahu kehilangan dukungan dan pengaruh orang Melayu dan rakyat.

Dalam rencananya yang bertajuk "Benar, 'perang besar' boleh berlaku di Malaysia”, penolong ketua pengarang I, Kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan menulis 'perang' kali ini lebih besar daripada tragedi 13 Mei 1969, kerana itu hanyalah konflik melibatkan kegelisahan kaum atau social unrest yang kecil sahaja.

Men
urut Zaini, pelbagai pihak sedang membakar semangat antara satu kaum dengan kaum yang lain, termasuk cubaan untuk menukar perlembagaan Malaysia sekarang kepada satu perlembagaan yang baru.

"Kalau benar ada orang yang mahu buat perlembagaan baru, kita minta perkara itu disiasat kerana ia bertentangan dengan pendirian rakyat negara ini.

Cara ugut

"Ini cara ugut, menakutkan orang supaya kes kezaliman, rasuah itu ditutup. Saya tidak percaya ketegangan ini parah melainkan ia sengaja dimainkan oleh orang-orang berkepentingan," tegas Anwar.

Katanya, sekiranya ada pihak tertentu cuba menghilangkan semua peruntukan orang Melayu-Islam atau hak Raja-Raja Melayu, beliau menggesa supaya pihak polis supaya menyiasat dakwaan tersebut.

"Kalau Pakatan Rakyat, kita ketiga-tiga parti sudah pun tandatangan. Saya, Datuk Seri Hadi Awang dan Lim Kit Siang mengesahkan peruntukan yang ada dalam perlembagaan dengan pendekatan baru untuk rakyat Malaysia lebih yakin,” kata Anwar lagi.

Utusan disaman RM50 juta

Dalam perkembangan berkaitan, ketua penerangan PKR, Latheefa Koya yang juga hadir pada sidang media itu berkata surat tuntutan sudah diserahkan kepada akhbar Utusan Malaysia berhubung laporan yang dianggap berniat jahat yang mendakwa Anwar membayar agensi berita luar negara, Cable News Network (CNN) untuk liputan berita.

Latheefa berkata surat tuntutan itu diserahkan oleh Tetuan Edwin, Lim & Suren yang bertindak bagi pihak Anwar.

"Kita meminta pihak Utusan dengan segera menarik balik dan meminta maaf kepada Anwar. Permohonan maaf itu harus dipaparkan sebesar artikel yang disiarkan itu dan berjanji tidak akan mengeluarkan apa-apa artikel seperti itu lagi.

"Sekiranya pihak defendan gagal berbuat demikian dalam masa tujuh hari yang diserahkan hari ini, pihak peguam akan membawa kes ini ke mahkamah untuk saman fitnah RM50 juta," kata Latheefa.

Pada 10 Julai lalu Utusan menyiarkan artikel bertajuk "Anwar Didakwa Bayar CNN" yang menjadi asas kepada tindakan undang-undang yang diambil Anwar terhadap akhbar tersebut.

Sementara itu, ketua penerangan PAS, Idris Ahmad berkata mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria perlu mendedahkan kandungan 'perlembagaan baru' yang didakwanya itu dan melaporkannya kepada polis untuk disiasat.

Mufti harus buat laporan polis

Beliau yang dipetik HarakahDaily berkata PAS terkejut dengan kenyataan Harussani bahawa ada pihak tertentu cuba menggantikan perlembagaan persekutuan bagi menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam perlembagaan sekarang.

“PAS mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis,” katanya.

Menurut Idris, PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan.

Malahan, jelasnya konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam telah bersepakat untuk mempertahankan perlembagaan persekutuan, Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera sejajar dengan perkara 153.

Selain itu, Pakatan juga berikrar mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan serta memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau.

“Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan