RM2.3 bilion wang judi dalam akaun Kerajaan Pusat?
Sabri Said - harakah
PULAU PINANG, 31 Okt: Para pemimpin Umno perlu menjelaskan hasil judi bernilai RM2.3 bilion yang terdapat dalam akaun hasil yang disatukan di Kementerian Kewangan pada tahun 2009.
Hasil inilah yang telah digunakan oleh kerajaan Pusat untuk membayar gaji kepada seramai 1.2 juta penjawat awam dan semua projek pembangunan termasuk untuk manfaat masyarakat Islam.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendesak perkara ini ekoran tuduhan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang dari hasil judi untuk diberikan kepada warga emas di negeri ini.
Lim menegaskan sekali lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menggunakan wang judi untuk diberikan kepada warga emas di negeri ini sebagaimana dakwaan Umno.
"Sebenarnya ia dari hasil penjimatan yang kita lakukan. Sudah dua kali kerajaan negeri mendapat pengiktirafan dari Ketua Audit Negara tentang pengurusan kewangan yang terbaik dalam negara ini disamping mendapat pujian dari badan anti-rasuah antarabangsa iaitu Transparency International," tegasnya lagi.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak akan terpengaruh dengan tekanan dan kempen Umno kononnya kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk membantu rakyatnya.
"Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menakut-nakutkan Kerajaan Negeri melalui apa jua cara yang mereka persembahkan. Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab kita akan terus membela dan memberi penghargaan kepada warga emas sebagai mengenang jasa mereka yang berusia lebih dari 60 tahun," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan