Kenyataan Rasmi ISMA-Mesir berhubung penyiaran berita oleh Harakahdaily
Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Saya ingin menafikan penglibatan ISMA cawangan Mesir (ISMA-Mesir) dalam program seperti mana yang dinyatakan di dalam laporan akhbar internet oleh Harakahdaily pada tarikh 17 Oktober 2010 di Mansura, Mesir.
2. ISMA-Mesir langsung tidak terlibat dengan program tersebut. Saya turut melahirkan rasa kesal atas penyiaran berita yang tidak bertanggungjawab ini. Saya juga ingin mempersoalkan motif Harakahdaily yang seolah-olah sengaja mengaitkan ISMA dengan parti politik UMNO.
3. Berita tersebut telah menimbulkan prasangka negatif terhadap ISMA-Mesir yang merupakan salah sebuah pertubuhan bukan-politik dan berdaftar dengan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Aktiviti dan progam anjuran ISMA-Mesir adalah berorientasikan kecemerlangan akademik dan kebajikan pelajar serta pembinaan syakhsiah.
4. Oleh itu, saya meminta pihak editorial Harakahdaily untuk membuat pembetulan berita tersebut tanpa mengaitkan nama ISMA secara serta merta dan mengeluarkan kenyataan maaf atas kesalahan yang sepatutnya tidak berlaku ini. Saya berharap agar perkara seperti ini tidak lagi berulang. Semoga etika kewartawanan yang berpaksikan sumber berita yang sahih menjadi amalan kita semua.
18 Oktober 2010
Pengerusi ISMA-Mesir
Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat
Pengerusi ISMA-Mesir
Taklimat biasiswa jadi majlis kelab Umno
Harakahdaily
MANSURAH (Mesir), 17 Okt: Taklimat biasiswa yang diadakan oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) di Dewan Handousa, Kuliah Perubatan, Universiti Mansurah, semalam telah bertukar menjadi taklimat penerangan mengenai kelab Umno.
Majlis yang berlangung pada pukul 3 hingga 5 petang itu telah dihadiri oleh kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi kuliah sains kesihatan, Universiti Mansurah sehingga dewan besar itu melimpah.
Penceramah jemputan yang juga mewakili Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Khairy Jalaluddin telah mengedarkan borang kelab Umno yang juga tertera lambang Umno kepada seluruh hadirin.
isi borang
“Kalau hendak biasiswa, kamu kena isi borang Umno dulu,” begitulah antara intipati ucapan daripada penceramah jemputan.
Majlis yang sepatutnya banyak membicarakan tentang biasiswa diubah formatnya kepada lebih membicarakan tentang Umno dan juga ISMA (Ikatan Muslimin M'sia).
Bagi hadirin, majlis itu adalah satu pengkhianatan dan penipuan kepada mahasiswa.
“Kami sepatutnya diberikan taklimat mengenai biasiswa sebaliknya diperbodohkan dengan taklimat lain,” ujar salah seorang hadirin.
Dalam masa yang sama, majlis itu juga tidak dimaklumkan awal sebaliknya dihebahkan pada hari ia dilangsungkan.
Kesemua mahasiswa dimaklumkan mengenai perkara ini secara tergesa-gesa dan juga diingatkan untuk membawa salinan keputusan SPM sebagai langkah untuk mengisi borang biasiswa.
“Adakah pengedaran borang Kelab Umno termasuk dalam tugasan JPMK. Kalau begitu JPMK sebenarnya telah membawa agenda politik dalam jabatan mereka dan perkara ini adalah sama sekali salah dalam amanah yang telah diberikan kepada mereka,” kata seorang pelajar senior Mansurah.
berterabur
Pun begitu, majlis itu tidak diketahui siapakah penganjurnya dan perjalanannya sangat berterabur.
Penceramah jemputan dalam masa sama juga adalah seorang pengerusi majlis dan juga pengedar borang Kelab Umno.
Menurut seorang hadirin lagi, siapa yang menjemput Khairy dan siapakah yang merancang kehadirannya untuk majlis itu masih tidak diketahui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan