Selasa, 21 Disember 2010

60,240 mangsa banjir nak TILAM

Gara-gara tilam Umno jadi sasaran maki hamun

oleh: ZULKIFLI YAHAYA


Pilihanraya umum 1999 Umno kalah di banyak kerusi majoriti Melayu gara-gara tilam yang diusung keluar masuk mahkamah. Pasca banjir di Kedah muncul pula cerita tilam versi baru yang tak kurang penangannya dalam menghakis sokongan rakyat terhadap Umno.

Sekembalinya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari mengagihkan bantuan untuk mangsa banjir di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar muncullah rungutan rakyat di sana sini kononnya agihan tilam untuk mangsa banjir hanya kepada ahli-ahli Umno sahaja. Orang bukan Umno termasuk yang di atas pagar hanya berputih masa sekalipun mereka adalah mangsa banjir yang terjejas teruk.

Najib datang ke Kedah sebulan selepas banjir melanda untuk mengumumkan peruntukan pusat kepada mangsa banjir. RM60 juta diperuntukkan untuk mangsa banjir di Kedah dan Perlis. Daripada jumlah itu sebanyak RM30.6 juta akan diagihkan kepada 32 ribu mangsa di dua negeri berkenaan. Setiap keluarga akan memperoleh RM500.

Najib berkata, sebanyak RM60 juta lagi akan disalurkan untuk bantuan pertanian kepada penduduk. “RM10 juta dari peruntukan itu akan diguna untuk memulihkan infrastruktur pertanian yang rosak akibat banjir, manakala RM50 juta disalurkan bagi membiayai kos penanaman semula termasuk membajak, benih padi dan racun,” katanya.

Najib turun mengumumkan akan menaikkan pemberian wang penanaman padi daripada RM573 sebelum ini kepada RM876 mulai bulan ini.

Perdana Menteri itu turun ke Stadium Sultan Abdul Halim adalah versi Kerajaan Pusat. Tetapi stadium dipenuhi bendera dacing. Ketua Kelab Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abd Rahim bertenggek di program kerajaan untuk menyampaikan bantuan berupa tilam dan dapur gas kepada mangsa banjir.

Tujuan Azeez, BN dan sekelian pemimpinnya amat mudah difahami iaitu supaya segala kerja kebajikan mereka yang ‘tulus ikhlas’ itu tercanang melalui semua media massa. Malang bagi BN kerana mangsa banjir di Kedah bukan seratus dua yang dipanggil berhimpun di stadium itu sahaja. Mangsa banjir yang berpindah sahaja seramai 60,240 orang. Yang tidak berpindah jumlahnya lebih besar. Ramai yang tertanya-tanya, “Mana tilam untuk kami?”

Setelah siasatan dibuat rupanya tilam propaganda itu hanya dihulur kepada ahli-ahli Umno sahaja. Itupun bukan semua ahli, tetapi ahli Umno yang menjadi pilihan JKKKP sahaja. Pengerusi JKKKP Suka Menanti, Zulkifli Saud memburukkan lagi keadaan BN apabila membuat komen terbuka bahawa sumbangan tilam itu adalah inisatif Kelab Putera 1Malaysia. Logiklah, katanya, mangsa banjir ahli Umno yang diutamakan. Apabila cerita ini dilaporkan oleh sebuah akhbar harian bebas, maka mengamuk sakanlah mangsa-mangsa banjir di Kedah. BN dan Umno jadi bahan maki hamun mangsa banjir yang tidak dapat tilam.

Selama ini media-media propaganda BN mencipta fitnah kononnya agihan bantuan sama ada yang datang dari Kerajaan Negeri atau PAS hanya untuk ‘penyokong mereka’ sahaja. Kini fitnah jahat dicipta itu memakan diri sendiri keraja ternyata BNlah yang melakukan kerja berat sebelah itu.

Sebaik sahaja pusat penempatan banjir di Stadium Sultan Abdul Halim ditutup dahulu, mangsa-mangsa banjir yang bukan ahli Umno melihat dengan mata kepala sendiri rakusnya Umno merampas ghanimah banjir. Cerita yang sama dapat dikutip di semua pusat penempatan, sehingga ramai yang geleng kepala melihat gelagat Umno. Segala bantuan yang belum teragih dan bahan mentah makanan yang berbaki habis disapu macam cerita ‘Ali Baba Bujang Lapok’. Perangai ahli dan pemimpin bawahan Umno itu adalah pancaran fikrah madiyyah yang ditanam kukuh dalam jiwa ahli-ahli Umno sejak sekian lama.

Di Jerlun, Pengarah MTD Kota Siputeh Haji Ismail Wan Teh sehingga ke peringkat membuat laporan polis terhadap anggota Umno yang melarikan bantuan yang diperuntukkan kepada mangsa banjir.

Bagi PAS yang memerintah Kedah, banjir besar ini adalah pengalaman pertama bagi ramai pihak yang menjadi rangkaian kerajaan sama ada Majlis Ketua Kampung (MKK), Ahli Majlis Kerajaan Tempatan mahupun Exco Kerajaan Negeri. Banjir pernah melanda beberapa tempat selepas Mac 2008, tapi tidak sebesar kali ini. Apabila sebaik penempatan banjir dibuka tiba-tiba JKKKP dan rangkaian Umno begitu ‘berselera’ untuk menguruskan pusat penempatan, ia mencetuskan dakwaan kononnya rangkaian mereka lebih cekap. Selepas banjir selesai barulah jentera PAS sedar bahawa tindak tanduk mereka rupanya bersebab.

Terdapat pusat penempatan di mana mereka mendaftarkan ahli-ahli mereka sebagai mangsa banjir sekalipun rumah langsung tidak terjejas banjir.

Perdana Menteri sudah umum pemberian RM500 untuk setiap mangsa banjir tidak kira yang berpindah atau tidak. Beliau turut mengumumkan bahawa bantuan tidak mengira pegangan politik. Maka isu yang akan muncul selepas ini ialah sama ada ahli-ahli PAS yang menjadi mangsa banjir turut menerima habuan.

BN semacam cuba memerangkap parti lawan mereka dengan mensyaratkan borang bantuan mestilah disahkan oleh JKKKP semata-mata. Pemimpin PAS arahkan ahli-ahli jangan segan untuk ambil tandatangan JKKKP kalau itu syarat mereka, kerana duit yang mahu diberi oleh Pusat itu berhak diterima oleh semua rakyat. Ia adalah duit cukai terkumpul yang dikutip dari rakyat juga, bukan duit dari tabung BN. Maka terdengarlah khabar angin kononnya JKKKP diarahkan menandatangani borang dengan dakwat pen yang berlainan warna; antara penyokong BN dan bukan penyokong BN.

Maka sekarang adalah masa rakyat Kedah yang menjadi mangsa banjir menunggu kedatangan wang RM500 setiap keluarga. Jika pemberiannya berblok macam penerima tilam juga, maka ‘mudahlah sikit’ kerja kempen Pakatan selepas ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan