Bandingan hebatnya Bahtera Laksamana (admiral) Muhammad Zheng He (Cheng Ho) berbanding dengan Kapal St Maria Cristopher ColumbusJangan terjebak dengan Assobiyah melayu - siri 2Assalamualaikum,
Adek-adek dan anak-anak ku.
Sekali lagi aku nak bawa satu lagi pengajaran dari sejarah orang melayu dan hubungannya dengan Islam.
Orang melayu bukanlah satu bangsa yang besar dalam sejarah. Dia bangsa yang kerdil sehingga datangnya Islam. Dunia melayu diapit oleh dua tamaddun hebat dan tua iaitu tamaddun Hind (India) di sebelah barat dan tamaddun Sin (Cina) disebelah timur.
Kedua-dua tamaddun gergasi ini telah berusia ribuan tahun ketika bangsa melayu hidup dalam kelompok-kelompok suku kaum yang terpisah. Kehidupan mereka serba mudah dan rengkas. Mereka tidak punya sistem pemerintahan yang 'elaborate'. Kepala kampung atau desa hanyalah seorang penghulu atau tuk bathin atau sesiapa sahaja yang 'ditua'kan.
Sistem pemerintahan orang melayu yang tersusun dan bersistem hanya terbit kira-kira 600 tahun yang lalu apabila seorang ketua berpangkat penghulu di sebuah kampung nelayan bernama Parameswara diangkat menjadi Sultan.
Sudah menjadi peraturan pada zaman itu kedaulatan sesebuah negeri hanyalah dengan pengiktirafan sebuah kuasa luar yang kuat dan berpengaruh. Persoalannya di sini siapakah kuasa luar yang kuat dan berpengaruh itu yang telah mengiktiraf kedaulatan Melaka.
Kedaulatan ini kemudiannya diiktiraf pula oleh daerah-daerah persisiran pantai di Selat Melaka seperti Siak, Rokan, Kampar dan Inderagiri sehingga Melaka menjadi sebuah negeri yang makmur dan mula menunjukkan attribut sebagai sebuah empayar.
Melaka pertama kalinya terlepas dari cengkaman Siam yang menuntut Melaka supaya saban waktu menghantar wakil mengadap Raja Ayuthaya mempersembahkan ufti berupa bunga emas. Bagaimana transformasi ini boleh berlaku - dari sebuah kampung nelayan kepada sebuah negara berdaulat dan bermaruah.
Transformasi ini dicetuskan oleh sebuah kuasa besar dunia yang berpusat di Tanah Besar Asia iaitu Cina yang meletakkan dirinya sebagai 'The Middle Kingdom' yang bertanggungjawab untuk mendatangkan kemakmuran kepada dunia luar. Delegasi-delegasi dikirim ke sebarang laut di bawah pimpinan seorang wira laut yang tidak asing lagi iaitu Admiral Zheng He atau 'Cheng Ho' (sebutan orang melayu).
Zheng He adalah seorang muslim berasal dari Yunnan (wilayah Cina Selatan) dari keturunan Han (yang beragama Islam). Admiral Muhammad Zheng He telah datang mengunjungi Melaka dan menyampaikan pesan Maharaja Yung Le dari Dinasti Ming yang hebat itu.
Parameswara dijemput ke kota terlarang (the forbidden city - Beijing pada hari ini) untuk mengadap Maharaja Yung Le untuk diberi beberapa darjah dan lambang-lambang kebesaran selayaknya kepada seorang pemimpin bagi sebuah negara yang berdaulat.
Tuk Penghulu Parameswara di angkat menjadi Sultan dan dianugerahkan darjah kebesaran, diberikan payung berwarna kuning (sehingga warna kuning menjadi warna diraja), di samping pelbagai hadiah. Maharaja Yung Le juga mengirim 400 orang tukang bangunan untuk membantu Melaka membina masjid-masjid menurut rekaan seni bina Cina.
Wahai adek-adek dan anak-anakku.
Bangsa melayu menjadi gah dengan Islam dan lambang-lambang kebesaran orang melayu adalah anugerah bangsa Cina yang lebih dahulu memeluk Islam.
Hari ini kita disibukkan untuk mengembalikan sentimen ke'bangsa'an bangsa melayu kita. Sedangkan siapalah melayu kalau tidak ditopang oleh kekuasaan Empayar Cina yang peneraju-poeneraju adalah umat Islam. Bukan sahaja Zheng He seorang muslim, bahkan sudah ada tanda-tanda sejarah yang menunjukkan Maharaja Yung Le juga besar kemungkinan beragama Islam. Yang pasti permaisuri beliau Empress Ma sudah jelas seorang muslimah.
Sekali lagi jangan terpedaya dengan seruan-seruan berbaur assobiyah atas alasan ini hanya 'wasilah' untuk mendaulatkan Islam.....!!!
Ditilik dari sejarah kita mewarisi Islam dari dua jurusan iaitu jurusan barat dari Tanah Arab dan Benua kecil India dan dari jurusan timur iaitu Tanah Besar Cina. Pada saat Rasulullah SAW masih hidup sudah ada umat Islam di kalangan bangsa Cina sejauh GuangZhao (Canton) dan Nanjing.
Kalau kita disebukkan dengan penonjolan assobiyah melayu maka kita akan kembali bertolak ke belakang. Sedarlah kehebatan bangsa melayu adalah kerana dinobatkan oleh bangsa lain yang lebih dahulu merasai nikmat Islam iaitu Bangsa Cina dan India.
Bukankah lebih baik kita mengembalikan kegemilangan Islam dengan meninggalkan karat-karat Jahiliyah yang ingin dibangkitkan oleh golongan yang keliru?
Bukankah lebih baik jika kita habiskan tenaga dan fikiran kita untuk kembalikan mengislahkan orang melayu, Cina, India bahkan manusia seluruhnya di sekeliling kita tanpa mengira siapakah bangsa dan keturunan mereka. Jika ini kita lakukan maka semua orang akan terbela sebagaimana terbelanya masyarakat melayu Melaka di tangan seorang yang berbangsa Cina.
Sesungguhnya adek-adek dan anak-anak ku tidak ada satu tanaddun Islam pun di dalam sejarah yang dibina di atas kebangsaan Arab atau ketuanan Arab.
Semua tamaddun Islam bermula dari Madinahnya sehingga Dimasq, Baghdad, Andalus, Istanbul, Kaherah dan Baitul Maqdis dibina di atas kedaulatan Islam.
Siapakah Salman al-Farisi? Siapakah Shuhaib ar-Rumi,. siapakah Bilal dari Habsyah? Siapakah Salahuddin al-Ayubbi? Bahkan siapakah ulama-ulama perawi hadis yang tersohor, Imam Bukhari, Abu Daud, An-Nasaa', Ibnu Majah? Kita akan insaf bahawa mereka ini semua berbangsa muslim yang menenggelamkan semua identiti bangsa kelahiran masing-masing.
'Kami adalah bangsa yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Barangsiapa mencari selain darinya, maka tidak akan menambah padanya selain kehinaan.'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan