Ahad, 26 Disember 2010

Pemberian bonus Felda tidak adil


Selamat datang ke Felda Tenang


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 26 Dis: Tindakan Felda yang enggan membayar bonus insentif kepada peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka disifatkan sebagai tidak adil.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, tindakan membezakan peneroka yang mengurus kebun sendiri dengan mereka yang mengikuti program tanam semula Felda itu tidak wajar.

Ini kerana peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka juga menghantar hasil mereka ke kilang Felda.

"Saya ingin mempersoal proses pengagihan insentif hasil ini. Memang insentif hasil ini diberi tiap-tiap tahun berdasarkan jumlah tan hasil yang dikeluarkan dan dihantar ke kilang Felda.

"Tetapi yang menjadi persoalan utama ialah insentif itu berdasarkan sama ada mereka mengikut Felda atau pun tidak.

hasil ke kilang felda

"Sedangkan mereka yang tak ikut Felda pun menghantar hasil ke kilang Felda. Jadi kalau peneroka yang tidak bersama Felda dianaktirikan dalam pemberian insentif itu tidak betul sebab mereka bukan menjual di kilang swasta tapi mereka jual di kilang Felda," kata Mazlan ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka didapati memperoleh hasil yang lebih tinggi daripada mereka yang mengikuti program tanam semula Felda.

"Mereka yang tanam sendiri mendapat perolehan hasil lebih besar daripada yang ikut Felda. Sepatutnya tak timbul diskriminasi samaada ikut Felda atau tidak," katanya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan seramai 18,354 peneroka atau 16.29 peratus didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.

insentif jumlah tan

"Saya lebih gemar menggunakan kaedah pemberian insentif berdasarkan jumlah tan.Kalau jumlah tan mereka tinggi, dapat tinggi dan kalau rendah dapat rendah.

"Saya tak setuju kalau mereka yang tak capai piawaian tak dapat langsung. Peneroka kena dapat hak mereka walaupun sedikit," katanya lagi.

Sementara itu, beliau mempersoal pemberian bonus insentif itu yang tidak jauh berbeza dengan tahun-tahun lepas sedangkan harga komoditi sawit dan getah semakin meningkat.

Menurutnya, pemberian itu haruslah diberi berdasarkan harga komoditi semasa.

umpan

Selain itu katanya, pemberian bonus insentif ini katanya tidak lebih dari umpan kepada peneroka Felda pada pilihan raya kecil Dun Tenang akhir Januari ini.

"Pemberian bonus ini bukan berita baru tapi diberiakan setiap tahun iaitu sebelum hari raya dan akhir tahun.

"Jadi kalau ini nak dijadikan umpan pilihan raya di Tenang, ini tidak relevan kerana pemberian ini dibuat setiap tahun," katanya.

Datuk Sri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Felda akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada peneroka tanah rancangannya di seluruh negara berjumlah RM100,916,600.

Ianya sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara selain sebagai insentif kerana menghantar hasil melalui Felda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan