Ahad, 6 September 2009

Mahfuz dakwa Kes Altantuya Punca Kontrak Musa Hassan Disambung





Foto Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang disambung khidmat lagi setahun yang sebelum ini dah tambah 2 tahun kerja kerana belum bersedia untuk jadi orang pencen. Foto gadis cun dari Monggolia yang dibunuh kejam dengan bom C4 hingga berkecai.


Harakah Daily

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa cuba menutup beberapa kes berprofil tinggi serta melindungi beberapa penjenayah 'kolar puteh' apabila menyambung kontrak satu tahun lagi Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa tindakan Najib itu bertujuan melindungi kes pengeboman Altantuyaa dengan C4 yang dikatakan ada kaitan dengan peribadinya sebelum ini.

Terbongkar segala rahsia

"Sambung kontrak Musa (KPN) ini saya yakin ada kaitannya dengan kes pembunuhan Altantuya," tegasnya.
"Jika tidak demikian, akan terbongkar segala rahsia serta dakwaan berkaitan Perdana Menteri sekarang ini, yang sebenarnya di dalam pengetahuan Polis; maksudnya kes (pembunuhan) Altantuyaa."

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa Polis mempunyai maklumat yang lengkap di sebalik pembunuhan gadis Mongolia itu.

"Polis sebenarnya mengetahui latar belakang kes yang sebenar, siapa yang mengarahkan dua pegawai terbabit untuk melakukan pembunuhan ke atas Altantuya," dakwanya.
Tegasnya lagi, penyambungan kontrak Musa tersebut sebenarnya turut bertujuan melindungi beberapa penjenayah berprofil tinggi, sebagaimana yang didedahkan sendiri oleh 'orang dalam' kerajaan.

"Segala dakwaan itu, bukannya didedahkan saya atau pemimpin oposisi, sebaliknya 'orang dalam' kerajaan dan dia bongkar kes yang berkaitan Johari Baharom sendiri," ujarnya.

"Begitu juga beberapa kes rasuah seperti pembelian kapal selam yang menurut pendedahan beberapa media antarabangsa, Najib didakwa terlibat."
Ujarnya, akuan bersumpah seperti yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadi atau ADC (aide-de-camp) kepada Musa sengaja diketepikan demi memastikan beberapa penjenayah terbabit terus dilindungi 'Kerajaan Najib'.

Ditanya tentang tindakan seterusnya, Mahfuz mencadangkan Pakatan Rakyat menggunakan opsyen sidang Parlimen depan dan demontrasi aman bertemu Yang DiPertuan Agong dalam masa terdekat.

"Kita akan cuba bawa kes Musa dan berkaitannya ke Parlimen walaupun kita tahu majoriti kecil masih berpihak pada Umno BN. Tapi, dalam iklim Umno BN yang sedang kian bergolak, kita yakin akan mendapat sokongan tidak langsung daripada Ahli Parlimen dia (BN) sendiri."

"Kita (PAS) akan pertimbangkan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan (parti) dalam Pakatan Rakyat dan NGO (badan bukan kerajaan), apakah tindakan seterusnya...termasuk memohon mengadap kepada Yang DiPertua Agong sekali lagi (serta) adakan perhimpunan rakyat."

Melindungi penjenayah berprofil

Menerusi blog Malaysia Today 2 September lalu, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan akuan bersumpah seorang pegawai kanan Polis yang pernah menjadi Pembantu Peribadi atau ADC (aide-de-camp); bahawa Musa terlibat melindungi penjenayah berprofil tinggi.

Dalam akuan bersumpah tersebut, ADC tersebut diarahkan oleh Musa, "menyelaras arahan mengenai kenaikan pangkat dan jawatan pegawai Polis berdasarkan draf dan cadangan yang dibuat oleh BK Tan."

Melalui BK Tan yang didakwa mengetuai sendikit jenayah terancang yang terbabit dalam pengedaran dadah, pelacuran, ceti haram dan perjudian haram kepada Musa, ADC tersebut turut diarahkan membangunkan blog untuk membunuh karektor 2 bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Mohd Johari Baharum dan Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad beberapa tahun lalu.

Tambahnya, fitnah Johari menerima rasuah RM5.5 juta daripada tiga penjenayah dua tahun lalu berikutan keengganan Johari berkomplot dengan pihak terbabit.
Dakwa ADC itu lagi, BK Tan dan Musa juga sebenarnya menjadi dalang kepada pendakwaan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusof serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (dulu dikenali sebagai BPR), beberapa tahun lalu.

Usaha melindungi penjanayah dengan meneruskan perjawatan Musa tersebut menjadikan Malaysia dikenali pula sebagai 'negara penjenayah', setelah negara ini pernah dikenali sebagai 'Negara Polis' oleh beberapa negarawan tempatan. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan