Assalamualaikum WBT jom ziarah blog bahasa melayu kami bagi memperolehi maklumat dan gambaran sebenar mengenai berbagai isu dan permasalahan di Dun Kahang dan Dun Paloh Kawasan Sembrong dalam daerah Kluang di Negeri Johor, Malaysia. Teras perjuangan kami adalah Islam adil untuk semua dan slogan kami ialah kita semua bersaudara...
Khamis, 25 Februari 2010
Diskriminasi terhadap 25,000 peneroka : Bangkitlah!
Hakmilik: Peneroka dakwa Felda tipu
Abdul Rahim Sabri
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi, diskriminasi dan dakwaan berlakunya penipuan oleh Felda.
Memorandum tersebut diserahkan oleh presidennya Mazlan Aliman (kiri) kepada pesuruhjaya suruhanjaya tersebut Datuk Khalid Ibrahim (kanan) di pejabatnya kira-kira jam 3.30 petang ini.
Turut hadir ialah barisan peguam yang ketuai oleh Ahmad Nizam Hamid serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya ahli parlimen Batu Tian Chua dan ADUN Port Dickson M Ravi.
Kira-kira 100 peneroka hadir dalam majlis penyerahan memorandum tersebut kepada Suhakam.
aduan
Dalam memorandum tersebut, persatuan itu menyenaraikan beberapa aduan termasuk dakwaan diskriminasi terhadap 25,000 peneroka yang mengendalikan sendiri kebun mereka selepas melangsaikan bayaran hutang.
"Tanah mereka itu, sudah selesai bayaran hutangnya, tetapi sampai hari ini, mereka tidak dapat hak milik," kata Mazlan dalam aduannya kepada Khalid.
Beliau yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS juga mendakwa terdapat peneroka menerima ugutan daripada Felda, termasuk dakwaan akan disingkirkan dari tanah rancangan.
Menurutnya, terdapat sesetengah peneroka Felda telah menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan hak milik tanah mereka itu, termasuk membuat laporan polis, berjumpa dengan menteri dan membawa perkara tersebut ke mahkamah.
Dalam memorandum tersebut, peneroka juga menuntut hak mereka yang telah dinafikan oleh agensi kerajaan itu selama ini, antaranya wang tanam semula sebanyak RM17,000 yang tidak diterima mereka sehingga hari ini.
dinafikan hak
Selain itu, mereka juga mendakwa dinafikan hak, antaranya, untuk mendapat bantuan tanam semula Risda bagi tanaman getah, lesen menjual hasil sawit dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta bantuan pendidikan dan pinjaman usahawan.
Dalam aduannya juga, Mazlan turut mendakwa Akta Penempatan Beramai-ramai (GSA) 1960 telah menjadi "senjata" agensi kerajaan itu untuk mengawal selia keseluruhan aktiviti dan kegiatan peneroka.
"Mereka akan menyebut akta ini termasuklah berhubung pengurusan ladang, dan kegiatan aktiviti peneroka mengikut tafsiran felda. Dan peneroka tidak boleh buat apa-apa," kata Mazlan.
Memorandum itu juga mendakwa akta tersebut membolehkan penguasaan tanah rancangan secara langsung dalam bentuk syarat nyata yang tertulis dalam surat hak milik peneroka, sama ada secara tersirat atau tidak nyata.
Akta itu, menurut memorandum tersebut, tidak membenarkan tanah mereka digadai, dipecah-pecahkan atau dibahagikan dan diserahkan kepada seorang penama sahaja.
Akta ini, kata peneroka terbabit, telah menimbulkan konflik dalam keluarga dari sudut pembahagian pusaka, hak peneroka terhadap tanah dan masa depan generasi kedua.
perjanjian terpaksa
Memorandum itujuga mendakwa, peneroka terpaksa menandatangani beberapa perjanjian untuk mendapat hak milik tanah, termasuk perjanjian penanaman semula yang diperkenalkan beberapa tahun dahulu.
Peneroka juga didakwa tidak mendapat salinan surat perjanjian tersebut dan felda juga boleh bertindak hingga ke tahap mendapatkan 'kaveat' tanah peneroka.
Dalam majlis tersebut juga lima wakil peneroka felda dari pelbagai negeri turut mengemukakan aduan lisan mereka kepada Khalid, yang rata-ratanya berkisar mengenai masalah yang dibangkit itu.
Sementara itu, Khalid berkata bagi pihaknya tidak pernah menerima aduan berhubung masalah yang dihadapi oleh peneroka.
kami dengar yang elok-elok sahaja
"Kami hanya mendengar yang elok-elok sahaja, yang tidak ada masalah. Oleh sebab itu, kita mahu mendengar sendiri dari peneroka sebagai langkah pertama untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan penjelasan daripada Felda sendiri berhubung aduan yang dikemukakan oleh persatuan tersebut.
Sehubungan itu, para pesuruhjaya Suhakam akan bermesyuarat pada 8 Mac depan untuk mengkaji dan menentukan tindakan mereka berhubung aduan yang diterima itu, termasuklah membuat siasatan nasional sekiranya sukar untuk mendapatkan maklumat.
"Kita tidak ada kuasa untuk memaksa kerajaan mesti buat itu, mesti buat ini. Kita hanya menyampaikan kepada kerajaan, maklumat yang tidak menyebelahi mana-mana pihak," katanya.
bawa ke Parlimen
Manakala Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula memberitahu pemberita sebelum penyerahan memorandum tersebut bahawa sebagai ahli parlimen, akan membahaskan akta Akta Penempatan Berkelompok 1960 (GSA) dan masa depan Felda dalam sidang parlimen yang akan bermula 15 Mac ini.
Beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, akta tersebut menindas peneroka dan sudah tiba masanya akta tersebut di semak semula.
Terdapat 112,635 peneroka di Malaysia di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, tiga buah negeri yang mempunyai jumlah peneroka yang ramai iaitu Pahang (43,123); Johor (27,641) dan Negeri Sembilan (16,429) orang.
Felda Lurah Bilut di Bentong yang dibuka pada 1958 adalah rancangan Felda yang terawal dengan projek penanaman getah, manakala Felda Taib Andak di Kulai Johor dibuka pada 1961 untuk penanaman kelapa sawit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan