Jumaat, 5 Mac 2010

PAS dan Dap malah Umno pernah mengalami proses itu


Foto Syed Husin yang banyak membuat kenyataan yang agak melegakan mengenai kes Ahli Parlimen PKR yang keluar parti, biasanya akibat dari masalah kewangan peribadi dan berjiwa ala-ala Umno dan BN yang mengutamakan perut dari kepentingan rakyat

'Proses penyucian yang dialu-alukan'

Apa
yang sedang dilalui oleh PKR sekarang juga pernah dilalui oleh PAS dan DAP tetapi sejarah telah membuktikan bahawa kedua-dua parti itu sebaliknya menjadi lebih kuat hingga ke hari ini, kata Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali.

Oleh itu, beliau menyifatkan peristiwa beberapa ahli parlimen PKR bertindak keluar parti sebagai satu "proses penyucian yang dialu-alukan".

Sehingga ini, tiga ahli parlimen PKR telah keluar parti dan menjadi calon bebas. Mereka ialah Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

kulit jadi lebih bersih

"Kami percaya apabila sudah tidak ada daki, kulit menjadi lebih bersih dan badan lebih sihat," katanya.

Menurutnya, sejarah menunjukkan PAS dan DAP mengalami cabaran lebih buruk pada peringkat permulaan mereka.

"Beberapa pimpinan utama mereka keluar parti. Dari DAP Goh Hock Guan (setiausaha agung), Richard Ho (pemimpin kanan), Lee Lam Thye dan lain-lain, keluar parti.

"Ada pihak menganggap DAP akan lingkup. Sebaliknya ia menjadi lebih kuat sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan.

Dari PAS pula, katanya, (Datuk) Asri Muda (presiden), Osman Abdullah (setiausaha agung), (Datuk) Nakhaie Ahmad (naib presiden) dan ramai lagi meninggalkan parti.

"Para pemimpin Umno menyangka dan mengharapkan PAS akan gulung tikar. Tetapi apa berlaku? PAS menjadi lebih teguh seperti yang terbukti sekarang.

tiga presiden Umno keluar parti

"Kita jangan lupa Umno juga melihat ramai pemimpin, termasuk tiga presidennya – (Datuk) Onn Jaafar, Tunku A Rahman dan Tun Hussein Onn - keluar parti dan tidak masuk semula sehingga meninggal dunia.

"Tidak seperti (Tun) Mahathir Mohamad, yang bercerai sekejap dan kemudian rujuk kembali. Berbeza dengan PAS dan DAP, Umno lebih parah keadaannya kini," tegas Syed Husin.

Menurutnya lagi, ahli parlimen yang 'melompat katak' dari PKR akhir-akhir ini - sepertimana ADUN-ADUN sebelumnya - menghadapi masalah pribadi serta kewangan dan ada yang mula disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain itu, dakwa beliau, mereka juga tidak menjaga kawasan, tidak pernah menyuarakan rintihan, apatah lagi membela hak rakyat.

Mereka, dakwanya lagi, tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam parlimen – tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

Sehubungan, beliau mendakwa pimpinan Umno meraih peluang itu untuk memikat mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan