Selasa, 10 Ogos 2010

Kenapa penganjur bazar tak bayar sewa? - Lim Guan Eng


Penganjur tidak bayar sewa punca masalah di Komtar
Harakahdaily

PULAU PINANG, 9 Ogos: Para peniaga bazaar Ramadhan di Komtar tidak boleh berniaga tahun ini ekoran dari tindakan penganjur bazar itu tidak membayar sewa kepada Lembaga Pembangunan Pulau Pinang (PDC) walaupun telah mengutip yurannya dari peniaga.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam laman komuniti Twitternya.

"Mengapa penganjur tak bayar PDC wang sewa yang dkutip daripada 27 peniaga Melayu? Bazar Ramadan tunggu bayar sewa.Tahun depan deal terus dengan peniaga," tulis beliau dalam twiiternya.

Sementara itu, beliau juga berkata, satu surat kelulusan telah dikeluarkan kepada penganjur iaitu Persatuan Peniaga Komtar melalui naib pengerusinya yang bernama Ghani.

Utusan Malaysia, media Umno, hari ini menyiarkan di muka depannya laporan kononnya kerajaan negeri Pulau Pinang menyekat peniaga Melayu membuka bazar Ramadhan di Komtar.

Laporan bertajuk "Melayu terus ditindas" itu jelas cuba memainkan isu perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng itu.

Ekoran itu, Guan Eng menyifatkan ia satu lagi siri mempermainkan isu perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sebelum ini, akhbar yang sama memainkan isu seorang peniaga Melayu yang mempertahankan kedainya yang dibina di atas pokok dari dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Guan Eng menjelaskan, tidak ada isu ia kedai Melayu atau tidak. Isunya adalah keselamatan kerana ia dibina di atas pokok, kata beliau.

rujuk laporan Msiakini di bawah

Dilarang berniaga, peniaga Melayu Komtar protes

Sekumpulan peniaga Melayu memprotes tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang melarang mereka berniaga di gerai masing-masing dalam bangunan Komtar sewaktu bulan puasa.
Kumpulan tersebut, yang diketuai Persatuan Peniaga Komtar (KMA), berhimpun di depan pejabat kerajaan negeri di tingkat tiga awal pagi ini.

Kira-kira 10 anggota polis memantau keadaan di situ tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

Seramai 27 peniaga terbabit, mendakwa bahawa pengerusi jawatankuasa pemulihan Komtar dan ADUN Komtar Ng Wei Aik membuat keputusan melarang mereka berniaga di gerai masing-masing.

Mereka berkata, mereka hanya dimaklumkan mengenainya semalam, ssedangkan mereka sudah membuat persiapan untuk berniaga dalam bulan puasa.

Naib pengerusi KMA, Mohamed Ghani Abdul Jiman berkata, jika masalah itu tidak diselesaikan hari ini, mereka akan mengadakan demonstrasi yang lebih besar.

"Kami mahu bertindak langkah demi langkah. Jika terlalu ramai orang, sukar untuk mengendalikan situasi," katanya.

Menurutnya, perhimpunan sewaktu hujung minggu akan disertai lebih ramai orang. Kurang daripada 100 orang menyertai perhimpunan hari ini.

Pengerusi biro ekonomi Pemuda Umno negeri, Aziaan Ariffin menuduhkan kerajaan negara mendiskriminasi peniaga kecil Melayu.

"Selepas kerajaan negeri merobohkan gerai penjaja Melayu, sekarang ia menghalang pula peniaga Melayu daripada mencari makan," katanya kepada wartawan.

"Ini menunjukkan bahawa para pemimpin DAP mengamalkan pilih kasih dan memaparkan sikap yang sangat rasis. Pemuda Umno Pulau Pinang akan bertindak lebih agresif jika masalah ini tidak diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu, pengurus kanan PDC Properties, Mohd Bazid Abdul Kahar pula berkata, keadaan tersebut tidak ada kena mengenai dengan soal perkauman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan