Jumaat, 27 Ogos 2010

PECAH DAN PERINTAH


KENYATAAN AKHBAR PIMPINAN PAKATAN RAKYAT
26 OGOS 2010


Pakatan Rakyat sedar wujudnya satu muslihat politik oleh pimpinan Umno-BN untuk mengapikan sentimen perkauman sempit dan agama bertujuan memecahbelahkan keharmonian masyarakat. Politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta ini digunakan oleh pimpinan Umno-BN kerana mereka berada dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka. Demi mencapai cita-cita politik tersebut pelbagai jentera kerajaan seperti BTN dan media seumpama Utusan Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.

Berhadapan serangan bertali arus itu, Pakatan Rakyat tetap beriltizam untuk melaksanakan Perubahan demi kemaslahatan rakyat keseluruhannya. Kita beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna dari negara ini.

Pakatan Rakyat menghormati perjuangan parti masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat. Permuafakatan ini sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun disepakati.

Dasar Pakatan Rakyat menyatakan:
“Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama.”

Kita akui sememangnya terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan Rakyat, walaupun begitu kita tuntas menggalakkan perbincangan dan bersikap terbuka. Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala permasalahan.

Pakatan Rakyat tidak mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan penganiayaan Umno-Barisan Nasional terhadap rakyat. Kami beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan negara ini. Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak masyarakat. Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.

Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup kegagalan kerajaan Umno-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM 52 billion. Kita menggesa satu Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut.

YB Anwar Ibrahim
Ketua Umum
PKR

YAB Lim Guan Eng
Setiausaha Agung
DAP

YB Ust Nasharuddin Mat Isa
Timbalan Presiden
PAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan