Foto Dr Hatta Ramli Semasa PRK Permatang Pasir. Senyum kerana menang saman.KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini memutuskan bahawa tindakan polis membuat tangkapan kerana mengadakan ceramah di rumah persendirian adalah menyalahi undang-undang.
Serentak dengan itu mahkamah juga mengarahkan pihak polis membayar gantirugi kepada Dr Hatta Ramli dan dua lagi yang menyaman polis kerana itu.
Keputusan telah dibacakan pagi tadi di Mahkamah Tinggi di sini oleh Yang Arif Hakim Dato’ Mariana Yahaya.
Keputusan ini dibuat Mahkamah Tinggi Kuantan selepas menerima saman yang dibuat oleh Dr Hatta Ramli yang ketika itu ialah AJK Pas Pusat, bersama Mazlan Mohd Yasin (Timbalan YDP Pas Rompin) dan Nazri Ahmad (Ketua Pemuda Pas Rompin) terhadap Ketua Polis Daerah Rompin.
Ketiga-tiga mereka telah ditangkap oleh polis dalam satu majlis ceramah yang diadakan di Markas PAS di Bandar Muadzam Shah pada 10 Jun 2004 dan ditahan di lokap polis Rompin selama 12 jam.
Hakim Yang Arif, Datuk Mariana Yahya memutuskan bahawa ceramah yang diadakan oleh PAS Kawasan Rompin di sebuah rumah yang dijadikan Markaz PAS Bandar Muadzam Shah adalah sah walaupun tidak memperolehi permit polis.
Beliau memutuskan bahawa premis sedemikian bukan kawasan awam yang memerlukan permit polis untuk mengadakan ceramah. Oleh yang demikian beliau mendapati polis telah melakukan pencerobohan premis persendirian tersebut dan penangkapan terhadap Dr Hatta dan dua yang lain adalah salah.
Hakim juga memutuskan bahawa yang dikatakan premis persendirian adalah bangunan dan kawasan sekitarnya. Oleh yang demikian pihak polis tidak boleh mengganggu aktiviti yang dilakukan di premis tersebut melainkan ianya menimbulkan masalah kepada keselamatan negara.
Mahkamah juga memutuskan Dr. Hatta dan dua yang lain dibayar gantirugi yang jumlahnya akan dinilai dan ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.
Dengan keputusan Mahkamah ini PAS berpendapat sebarang bentuk ceramah di mana premis parti atau premis persendirian yang lain adalah sah dan tidak memerlukan permit polis
oleh Zukri Aksah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan