Perjuang diskaun rumah mewah tetapi lupa subsidi dipotongAbdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membidas pengampu-pengampu pemimpin Umno yang hanya memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera tetapi berdiam diri terhadap pemotongan subsidi.
"Sikap mereka yang membisu seribu bahasa terhadap pemotongan subsidi yang ternyata membebankan rakyat terutama menjelang musim perayaan ini membuktikan sikap mereka yang bukan sahaja tidak prihatin malah tidak peduli sama sekali terhadap penderitaan rakyat terutama yang berpendapatan rendah," katanya.
Malah, katanya lagi, mereka bersekongkol dengan tindakan kerajaan yang hanya berani merampas subsidi dari rakyat dan mengumumkan kenaikan harga barang sebaik sahaja sesi Parlimen selesai bersidang.
Beliau mendedahkan, tidak ada sebarang pandangan diminta mahupun perbicangan secara khusus dibuat bersama-sama Ahli Parlimen sepanjang Parlimen diadakan.
"Selepas tamat sesi Parlimen, kerajaan terus umum kenaikan harga barang tanpa berunding dengan rakyat. Masa bila kerajaan berunding dengan rakyat?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.
Pengampu-pengampu pemimpin Umno yang membuat bising menentang pemotongan diskaun rumah mewah itu juga lansung tidak peduli terhadap nasib hampir 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700, katanya.
barang naik "Bila harga minyak dan harga barang makanan dinaikkan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), bukan harga barangan tersebut sahaja yang naik harganya tetapi, seperti yang berlaku sebelum ini, ia akan mengakibatkan kesan berganda dan barangan lain juga naik harga.
"Kenaikan harga minyak akan mengakibatkan kenaikan kos pengangkutan dan dengan sendirinya harga begitu banyak barangan lain akan naik harga.
pergilah ke pasar lihat sendiri"Kenaikan harga gula pula akan mengakibatkan kenaikan harga makanan dan minuman lain. Beberapa hari lagi kita akan menyambut Ramadhan, pergilah ke pasar-pasar Ramadhan dan lihat sendiri adakah pelbagai juadah yang menggunakan gula sebagai bahan akan tetap sama harga?
"Kalau tidak dinaikkan harga pun, biasanya para peniaga terpaksa mengurang kuantiti atau mengecilkan saiz," kata Mahfuz.
Tetapi, katanya, para pemimpin Umno dan pengampu-pengampu mereka tidak peduli penderitaan rakyat akibat kenaikan harga barang itu.
"Saya yakin, sebahagian besar dari 34 peratus daripada kira-kira 1.3 juta pekerja di negara ini yang memperolehi pendapatan bulanan bawah RM700 itu adalah adalah orang-orang Melayu Islam yang akan menyambut Ramadhan kali ini dengan penderitaan akibat kenaikan harga barang.
"Malang bagi mereka kerana orang-orang Umno hanya sibuk dengan memperjuangkan diskaun untuk pembelian rumah mewah kepada Bumiputera.
"Maklumlah, mereka yang hendak beli rumah-rumah itu kerana pekerja yang berpendapatan bawah RM700 sebulan tentu tidak mampu membeli rumah-rumah mewah itu," kata Mahfuz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan