FDI merosot 81% - AnwarDzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulihkan ekonomi negara melalui Program Tranformasi Ekonomi (ETP) terus dipersoal.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, era pentadbiran Najib menyaksikan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara merosot sebanyak 81 peratus dari RM23.47 bilion pada tahun 2008 kepada RM4.43 bilion pada tahun 2009.
"Ini merupakan kemasukan FDI paling rendah sejak 20 tahun lalu selain tahun 2001 di mana negara mencatat kemasukan FDI RM1.54 billion," ujarnya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, petang ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, World Investment Report 2010 baru-baru ini turut melaporkan yang negara mengalami kemerosotan ketara dalam kemasukan FDI serta peningkatan dalam pengaliran keluar FDI yang menunjukkan ketidakyakinan pelabur dalam ekonomi negara.
"Di kalangan negara-negara Asean, hanya Malaysia mengalami negative inflow," ujarnya yang ditujukan kepada Najib selaku Menteri Kewangan I.
Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Thailand walaupun bergelumang dengan pelbagai kacau bilau politik dan boikot sepanjang 2009 dan 2010 dijangka tumbuh pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus; iaitu setanding atau lebih baik dari sasaran Malaysia, 6 peratus.
Singapura pula katanya, dijangka berkembang pada kadar 13 peratus hingga 15 peratus, iaitu dua kali ganda lebih pantas dari kadar pertumbuhan ekonomi negara.
Pun begitu, Indonesia ujarnya tidak mengalami apa-apa penguncupan dan pertumbuhan ekonominya kekal 6 peratus.
Bagaimanapun katanya lagi, pertumbuhan 6 peratus ekonomi Indonesia adalah lebih baik.
Ini kerana katanya, 7 peratus yang dijangka capai oleh Malaysia adalah pertumbuhan ekonomi negarah selepas penguncupan.
Melihat pada senario ekonomi Asean, beliau berpendapat kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah setara dengan Cambodia, Mynmar, Brunei, Laos dan Timor-Leste.
"Ini merupakan pertama kali dalam sejarah FDI Filipina mengatasi Malaysia," ujarnya.
Walhal, katanya lagi, FDI negara-negara Asean yang lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam jauh meninggalkan Malaysia.
Tambahnya lagi, laporan terbaru Bank of America dan Merill Lynch turut tidak menyenaraikan Malaysia sebagai 10 destinasi kemasukan pelaburan asing berbanding China.
Tidak cukup dengan itu, dilaporkan Malaysia diketegorikan sebagai antara negara yang paling kurang diminati oleh pelabur luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan