Tanam semula: 11 lagi penyelewengan FeldaDzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 1 Okt: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman mendedahkan 11 lagi bentuk penyelewengan Felda mengkhianati peneroka yang majoritinya Melayu.
Menurut beliau, melalui Tabung Tanam Semula yang ditubuhkan sejak Januari 1985, sepatutnya setiap peneroka layak mendapat RM17,000 sebagai bayaran tanam semula.
Ini kerana, setiap peneroka pada setiap bulan telahpun mencarum sebanyak RM4 seekar supaya Felda memulangkan RM17 ribu kepada setiap peneroka bagi kerja-kerja tanam semula.
Di sebalik penubuhan Tabung Tanam Semula itu, beliau yang juga Pengerusi Lajnah Peneroka dan Pembangunan Tanah PAS Pusat berkata, pertamanya Felda enggan menyerahkan Wang Tanah Semula kepada peneroka yang melaksanakan kebun mereka secara persendirian meskipun telah mengikuti semua garis panduan yang ditetapkan.
"Peneroka ini telah ikut garis panduan seperti pokok tua perlu ditebang, peneroka perlu tanam pokok yang baru.
"Segala yang Felda mahu mereka patuhi tetapi wang tanam semula yang dijanjikan Felda itu tidak juga diberikan oleh Felda," ujarnya.
Kedua, katanya Felda bertindak melampau memotong RM8,500 untuk 10 ekar Wang Tanam Semula (RM17,000) tanpa persetujuan peneroka atas alasan peruntukan input pertanian.
"RM8,500 Felda sudah ambil, separuh lagi yang sepatutnya diberikan kepada peneroka, tetapi tetap tidak beri," ujarnya.
Ketiga, katanya Felda tidak membayar Wang Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.
Penyelewengan keempat, katanya Felda sewenang-wenangnya membuat potongan baru caruman tanam semula kali kedua antara RM114 hingga RM119.
"Kali pertama RM17 ribu tidak dibayar, kali pertama dipotong RM40 dan potongan kali kedua meningkat tiga kali ganda.
"Borang (tanam semula kali kedua) baru edar, tetapi dia dah potong dulu," ujarnya sambil menganggap Felda bertindak melampau ke atas peneroka.
Keempat, katanya Felda menyembunyikan maklumat mengenai insentif tanam semula yang diberikan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjumlah RM1,000 bagi setiap hektar kebun sawit peneroka.
"Dia tak beritahu pun pada peneroka, rupa-rupanya ada insentif," ujarnya.
Keenam, katanya Felda tidak menyalurkan Bantuan Tanam Semula kepada peneroka sedangkan Risda memperuntukkan RM7,000 sehektar (getah ke getah) dan RM6,000 sehektar (getah ke sawit).
"Bantuan ini adalah ketipan dari wang ses yang dikenakan kerajaan ke atas setiap jualan getah berasaskan seksyen 3, Ordinan Kumpulan Wang bagi perusahan getah, Akta Penanaman Semula, 1952.
"Rupanya wang itu telah digunakan Felda, maknanya tidak amanah, wang yang disalurkan Risda tidak diserahkan (kepada peneroka)," ujarnya.
Ketujuh, katanya Felda tidak menyediakan penyata lengkap kos pembangunan tanam semula hingga hutang peneroka begitu tinggi dan tidak munasabah.
"Bayangkan kos tanah semula di Pengeli Timur sahaja sudah mencecah RM62,740 dalam tempoh empat tahun dalam keadaan peneroka tidak diberitahu apakah potongan yang sebenar," ujarnya.
Kelapan, katanya Felda masih mengekalkan kadar faedah atas kos tanam semula 6.25 peratus hingga sekarang.
"6.25 peratus mengambil kira pinjaman yang dibuat oleh Felda melalui Bank Dunia (sedangkan) pada tahun 1996, hutang dengan Bank Dunia telah langsai."
Kesembilan, katanya hasil jualan kayu getah tua tidak disalurkan terus kepada peneroka, sebaliknya masuk ke akaun Felda serta dibuat pemotongan sesuka hati.
"Felda khianat sebab Felda mengambil duit itu dulu, dia cek hutang-hutang yang peneroka pun tak tahu berapa hutang dia dan kemudian dia kata inilah baki," ujarnya.
Kesepuluh, beliau mempersoal tentang kos tanam semula Felda yang begitu mahal berbanding kos tanam semula oleh Sime Darby, IOI dan sebagainya.
"Sepatutnya kos tanam semula kali kedua lebih murah sebab jalan pertanian, teres sudah sempurna , Felda tak perlu buat,” katanya.
Kesebelas, ujarnya Felda mengambil masa yang begitu lama, sekitar 2 tahun hingga 4 tahun selepas sawit dan getah mengeluarkan hasil untuk membuat pembayaran penuh.
Katanya, pendahuluan hasil yang diberikan sangat terdedah pada penipuan kerana tiada penyata lengkap mengenainya.
Sehubungan itu, beliau menuntut supaya caruman wang tanam semula dikembalikan kepada rakyat serta-merta tanpa syarat.
"Untuk maklumat, lebih 4,000 peneroka sebelum akhir tahun ini akan menyaman Felda (kerana) selepas kemenangan peneroka (Felda Sungai Koyan 2 dan 3, dan Kemahang 3), imej Felda nampak buruk."
"Kalau mereka (Felda) masih enggan, sombong dan angkuh, mereka bersedialah menghadapi kesedaran peneroka nanti," nasihatnya kepada Felda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan